Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Promosi > Gaya Hidup Sihat: Senaman

Gaya Hidup Sihat: Senaman

Berdasarkan data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan sekitar 300 juta penduduk di seluruh dunia menghidapi penyakit asma. Bagi kebanyakan penghidap asma ini, senaman fizikal yang berlebihan akan menyebabkan simptom asma mereka semakin teruk dan tidak terkawal.

Adakah ini bermakna penghidap asma tidak boleh bersenam, terlibat dalam aktiviti sukan atau kegiatan fizikal?

Asma dan Sukan

Mungkin ramai antara kita yang tidak mengetahui bahawa terdapat ramai ahli sukan ternama di seluruh dunia yang pada asalnya merupakan penghidap asma tetapi telah berjaya dalam bidang sukan yang mereka ceburi kerana bijak menangani asma.

Antaranya termasuklah atlet kebanggaan negara kita, M. Ramachandran, pemain hoki, Gary Roberts dan triatlet Sharon Donnelly.

Tatacara Senaman Yang Selamat

Satu garis panduan terkini telah dikeluarkan oleh pihak Senaman dan Sains Sukan Australia (ESSA) berkaitan tatacara senaman yang selamat, saranan yang efektif tentang senaman dan pemantauan yang diperlukan oleh penghidap asma yang menjalankan aktiviti senaman atau sukan.

Aktiviti fizikal atau senaman yang disarankan kepada penghidap asma hendaklah dilakukan selama 20-60 minit, 3-5 kali seminggu.

Pada hakikatnya,ia tidak begitu berbeza dengan tuntutan senaman untuk individu sihat yang lain.

Jenis-Jenis Senaman / Sukan Untuk Pesakit Asma

Pihak Akademi Alergi, Asma dan Immunologi Amerika (AAAI) pula telah mengenal pasti beberapa aktiviti fizikal atau sukan yang lebih baik diamalkan oleh para penghidap asma.

Aktiviti berenang sebenarnya hanya membawa kebarangkalian yang sangat rendah untuk mencetus gejala asma, kerana seseorang perenang itu lazimnya terdedah kepada udara yang panas dan lembap semasa mereka menjalankan aktiviti renang. Seseorang penghidap asma yang memilih aktiviti renang juga akan mendapat manfaat tambahan iaitu menguatkan otot-otot bahagian atas badan mereka, khususnya otot dada yang penting untuk pernafasan yang lancar.

Jenis-jenis sukan atau senaman lain yang turut sesuai dilakukan oleh pesakit asma adalah seperti di bawah :

Berjalan pantas/ lambat

  1. Berbasikal secara santai
  2. Mendaki gunung/ bukit
  3. Sukan berpasukan yang memerlukan penggunaan tenaga yang singkat seperti besbol, bola tampar dan gimnastik
  4. Aktiviti trek dan acara sukan padang yang bersifat jangka pendek berbanding acara trek atau sukan jangka panjang seperti bola sepak, hoki, bola keranjang dan larian jarak jauh

Mereka yang menghidap asma juga dinasihatkan supaya menjauhi aktiviti cuaca sejuk seperti meluncur salji.

Bagaimana Jika Saya Hendak Terlibat Dalam Senaman / Sukan ?

Secara amnya, ramai di kalangan penghidap asma yang dicetuskan oleh aktiviti senaman (exercise-induced asma) masih boleh terlibat dalam apa jua jenis sukan, dengan syarat diagnosa yang tepat telah dibuat dan langkah intervensi yang strategik telah diambil.

Berikut disenaraikan beberapa langkah praktikal yang perlu dilakukan seseorang penghidap asma lakukan sekiranya mereka membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal / senaman :

 

  1. Pastikan anda telah berunding dengan pegawai perubatan yang menjaga anda dan memastikan keadaan asma anda adalah terkawal sebelum bermula.

 

  1. Ambillah ubatan pencegah sebelum anda mula bersenam atau bersukan dan jangan lupa untuk membawa ubat inhaler penyelamat bersama-sama anda semasa aktiviti dijalankan (contoh : beta agonis dengan tindakan angka pendek seperti Ventolin inhaler).

 

  1. Sila pastikan juga anda melakukan aktiviti pemanasan badan yang cukup sebelum dan selepas tamat aktiviti sukan / senaman yang disertai, untuk mengurangkan risiko anda mendapat serangan gejala asma bawaan senaman.

 

  1. Dinasihatkan agar anda menghadkan aktiviti senaman / latihan sekiranya anda menghidap gejala serangan infeksi akut virus/ bakteria, juga ketika cuaca sejuk dan bersuhu rendah, serta pada paras pencemaran yang tinggi / berbahaya. 

Kesimpulan

Kekal sihat dengan aktiviti fizikal dan gaya hidup cergas adalah sangat penting demi menjamin kesihatan jasmani dan mental yang seimbang, terutamanya bagi anda penghidap asma.

Ingatlah! asma bukan alasan untuk kita tidak aktif atau terlibat dalam aktiviti senaman fizikal.

Tanpa senaman, penghidap asma akan mempunyai tahap kecergasan aerobik yang rendah, dan pada jangka masa panjang akan meningkatkan risiko untuk mendapat obesiti, seterusnya pelbagai lagi penyakit kronik lain yang disebabkan oleh kurang aktiviti dan obesiti.

Rujukan

  1. Akademi Allergi, Asma dan Immunologi Amerika, AAAAI. www.aaai.org
  2. Persatuan Paru-paru Kanada, Canadian Lung Association. www.lung.ca
  3. Senaman dan Sains Sukan Australia, ESSA. www.essa.org.au

 

Semakan Akhir : 14 Julai 2015
Penulis : Mohd Khairi b. Maslehan
Penterjemah : Mohd Khairi b. Maslehan
Akreditor : Dr. Azza bt. Omar