Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Renal > Etiologi (Renal) > Glomerulonephritis

Glomerulonephritis

Definisi

Glomerulonephritis dikalangan kanak-kanak ialah sejenis penyakit yang menganggu fungsi buah pinggang. Kita mempunyai dua buah pinggang dan ia merupakan organ yang mengeluarkan air kencing. Setiap buah pinggang mempunyai dua bahagian dimana:

(i)        Sebahagian berfungsi dalam menapis darah bagi mengeluarkan sisa kotoran, garam dan air yang berlebihan daripada badan.

(ii)        Sebahagian lagi terlibat didalam pengeluaran air kencing yang dikeluarkan melalui tiub dan kemudiannya akan disalurkan ke pundi kencing.

Di dalam penyakit glomerulonephritis, bahagian yang terlibat didalam penapisan darah tidak menjalankan tugasnya dengan normal. Akibatnya bahan yang berguna seperti protein dan darah terkeluar bersama–sama dengan kencing.

Glomerulonephritis boleh berlaku secara perlahan-lahan ataupun secara agresif. Terdapat pelbagai jenis glomerulonephritis yang mana mempunyai akibat yang berlainan. Penentuan jenis glomerulonephritis boleh ditentukan dengan mengambil dan memeriksa sedikit tisu dari buah pinggang.

Epidemiologi.

Berdasarkan laporan dari pengambilan tisu buah pinggang, punca utama penyakit glomerulonephritis dikalangan kanak-kanak dibawah 15 tahun di Malaysia ialah :

(i)         Focal Segmental Glomerulosclerosis (FSGS): Kanak–kanak akan mengalami bengkak badan akibat kehilangan protein melalui air kencing. Kanak-kanak yang didalam kumpulan ini sering tidak bertindak dengan rawatan prednislone.

(ii)        Glomerulonephritis yang diakibatkan dari penyakit SLE (Systemic Lupus Erythematosis). Penyakit ini sering dihidapi oleh remaja perempuan dan melibatkan pelbagai organ seperti kulit, otak, sendi dan termasuklah buah pinggang.

(iii)       Minimal Change Disease: Kanak-kanak ini juga boleh mengalami bengkak dibadan akibat kehilangan protein melalui kencing. Kanak–kanak yang menghidap penyakit ini selalunya bertindak dengan prednisolone.

(iv)       Glomerulonephritis selepas jangkitan kuman streptococcal. Penyakit ini sering dihidapi oleh kanak-kanak yang berumur 7 tahun keatas akibat dari jangkitan kuman tersebut. Jangkitan ini menyebabkan kudis pada kaki ataupun sakit pada kerongkong. Satu atau dua minggu selepas jangkitan, kencing pesakit akan menjadi merah dan pada ketika inilah yang menyebabkan ibu bapa membawa pesakit ke hospital untuk menerima rawatan. Penyakit ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah tinggi dan juga boleh menjejaskan fungsi buah pinggang. Namun jika ia dirawat, penyakit ini mempunyai harapan yang baik untuk pulih seratus peratus.

Kadangkala glomerulonephritis boleh mengakibatkan masalah yang serius sehingga menyebabkan kegagalan fungsi pada buah pinggang. Keadaan ini dikatakan berlaku apabila fungsi buah pinggang tidak berjalan dengan sempurna atau pun berhenti sepenuhnya samada secara perlahan-lahan atau secara tiba–tiba.

Tanda/gejala sakit glomerulonephritis

Ini bergantung kepada jenis glomerulonephritis. Kadangkala seseorang tidak mempunyai apa-apa tanda. Ia hanya dikesan apabila pemeriksaan air kencing dijalankan semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan. Glomerulonephritis menimbulkan tanda-tanda berikut :

(i)         Pendarahan dalam air kencing. Warna kencing bertukar menjadi merah,

merah jambu atau coklat.

(ii)        Kencing yang berbuih.

(iii)       Bengkak di muka terutama dibahagian mata, tangan, kaki dan perut.

(iv)       Air kencing yang berkurangan

(v)        Tekanan darah tinggi.

Ujian untuk penyakit glomerulonephritis:

(i)         Ujian air kencing dan ujian darah: Ujian kencing mengesahkan samada ada kehadiran darah atau protein didalam air kencing. Ujian darah akan menunjukkan samada fungsi buah pinggang masih normal atapun telah merosot.

(ii)        Ultrasound buah pinggang: Ini dapat memberikan gambaran keadaan serta saiz ukuran buah pinggang.

(iii)       Biopsy buah pinggang : Ujian ini melibatkan pengambilan tisu dari buah pinggang. Doktor akan memasukkan jarum halus ke buah pinggang dan mengeluarkan sampel tisu yang kecil. Sampel ini akan dikaji dibawah mikroskop dan jenis glomerulonephritis akan dapat dikesan.

Rawatan

Rawatan penyakit ini bergantung kepada masalah yang timbul. Rawatan akan dibuat dengan mengambil kira punca akibat sakit buah pinggang dan kerosakkan pada buah pinggang jika ada.

Pada peringkat awal penyakit ini tidak memerlukan rawatan. Tetapi pesakit perlu dipantau diklinik secara susulan. Ujian darah dan air kencing dijalankan setiap kali lawatan dibuat. Tekanan darah mesti ambil.

Sekiranya memerlukan rawatan, ia merangkumi rawatan sebagaimana yang disenaraikan seperti di bawah:

(i)         Ubat yang bernama Prednislone. Ianya boleh diambil secara oral ataupun dalam bentuk suntikan intravena.

(ii)        Ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi.

(iii)       Ubat untuk menggalakkan pengeluaran air kencing.

(v)        Mengelakkan dari menggunakan rawatan alternative atau supplemen yang boleh membahayakan lagi fungsi buah pinggang.

(vi)       Memberikan sokongan kepada pesakit kanak-kanak serta ibu bapa.

(vii)      Dialisis.

Bagi mereka yang menghidap glomerulonephritis yang agresif serta telah menjejaskan fungsi buah pinggang yang serius, mereka memerlukan rawatan dialysis. Rawatan dialysis berfungsi mengantikan fungsi buah pinggang yang telah rosak. Terdapat dua kaedah rawatan dialysis iaitu : Hemodialisis dan peritoneal Dialisis.

Haemodialisis: Dalam kaedah ini, mesin ini akan mengeluarkan darah daripada badan dengan menggunakan pam. Darah yang dikeluarkan akan ditapis/ dibersihkan dan ianya akan dipulangkan kembali ke badan pesakit. Proses rawatan ini mengambil masa selama 2-3 jam setiap sessi, 3 kali seminggu.

Peritoneal dialisis: Dalam kaedah ini cecair dialysis akan dimasukkan kedalam kaviti peritoneal (bahagian perut) melalui tiub yang dipasang pada bahagian perut. Cecair dialysis yang dimasukkan akan dikeluarkan mengikut masa yang ditetapkan dengan membawa bersama bahan-bahan kumuhan, garam dan air yang berlebihan dari badan.

Rujukan:

Patient information: Glomerular disease (The Basics) www.uptodate.com 2012

Rosnawati Yahya, Wan Jazilah W I (Ends) Second Report of the Malaysian Registery of Renal Biopsy Kuala Lumpur 2010.

Practical Paediatric Nephrology An Update of Current Parctices. Editors Chiu Man Chiu, Hui Kim Yap.

Semakan akhir :  13 December 2013
Penulis :  Dr. Wan Jazilah Wan Ismail
Akreditor :  Y. Bhg. Datuk Dr. Wan Shaariah bt. Md. Yusuf