Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Komplikasi Strok

Komplikasi Strok

Angin Ahmar ( “Stroke”)

Angin ahmar merupakan punca kematian yang kedua tertinggi di seluruh dunia. Ia adalah penyakit yang boleh membawa kepada ketidakupayaan jangka masa panjang.

Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan pengerasan dan penebalan arteri (aterosklerosis), yang boleh menyebabkan angin ahmar. Saluran darah yang rosak adalah lemah dan lebih cenderung kepada penyumbatan atau pecah.

Hipertensi adalah faktor risiko tunggal yang paling penting untuk angin ahmar. Justeru itu, tekanan darah tinggi adalah penyebab penting yang boleh diubah untuk angin ahmar.

Angin ahmar merupakan “serangan otak”. Angin ahmar berlaku kerana kehilangan fungsi otak dengan mendadak, disebabkan oleh gangguan dalam bekalan darah ke otak. Kehilangan fungsi otak yang melebihi 24 jam disebut sebagai angin ahmar ( “Stroke”).

Terdapat satu keadaan yang dipanggil TIA (transient ischaemic attack). TIA adalah “stroke mini” yang berlaku apabila darah beku menyumbat arteri untuk masa yang singkat dan sel – sel otak pulih sepenuhnya selepas bekalan darah dipulihkan.

Terdapat Dua Jenis Atau Bentuk Angin Ahmar:

Hemorrhagic vs. Ischemic StrokeRajah 1: Pendarahan (Hemoragik) vs. Iskemik (Ischemic)

1. Hemoragik (pendarahan di dalam atau di sekitar otak)

Ia hasil daripada saluran darah lemah yang terpecah dan berdarah ke dalam otak di sekelilingnya.

2. Iskemik (“ Ischaemia” – penyumbatan saluran darah otak)

Iskemia adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan aliran darah yang tidak mencukupi ke organ atau bahagian badan. Ini menyebabkan kehilangan bekalan oksigen dan zat-zat. Iskemia akhirnya akan menyebabkan kematian sel.

Penyumbatan boleh disebabkan oleh thrombosis (penyumbatan saluran darah oleh darah beku pada tempat asal) atau embolus (bekuan darah dari tempat lain dalam badan, seperti dari jantung).

Apakah Tanda – Tanda Amaran Angin Ahmar?

Pesakit angin ahmar biasanya mengalami gejala dengan mendadak. Gejala bergantung kepada jenis, lokasi dan tahap tisu otak yang terjejas.

Berikut adalah tanda-tanda amaran angin ahmar:

  • Secara tiba-tiba rasa lemah atau kebas pada muka, lengan atau kaki, terutamanya pada sebelah badan.
  • Secara tiba-tiba menjadi keliru, atau menghadapi masalah bercakap atau memahami.
  • Secara tiba-tiba mengalami masalah penglihatan pada satu atau kedua-dua belah mata.
  • Secara tiba-tiba mengalami masalah berjalan, pening, hilang keseimbangan atau koordinasi.
  • Secara tiba-tiba mengalami sakit kepala yang teruk, dimana sebab tidak diketahui.

Ketahui cara mengesan angin ahmar kerana “Lebih banyak masa tertangguh, lebih teruk hilangnya fungsi otak”. Rawatan awal dapat mengurangkan kehilangan fungsi otak akibat angin ahmar.

Bagaimana Angin Ahmar Didiagnosis?

Doktor yang merawat perlu mendapatkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal untuk mendiagnosis angin ahmar. Jika disyaki angin ahmar, doktor akan melakukan siasatan lanjut melalui imbasan CT (“computed tomography”) atau imbasan MRI (“Magnetic resonance imaging”). Pemeriksaan ini dapat menentukan sama ada angin ahmar tersebut disebabkan oleh darah beku atau daripada pendarahan dalam otak, dan juga lokasi kecederaan otak.

CT scan slice of the brain showing a right-hemispheric ischemic stroke (left side of image)Rajah 2: Keputusan Imbasan CT Otak Menunjukkan Tanda Iskemia Pada Hemisfera Kanan Otak (sebelah kiri imej)

Bagi pesakit angin ahmar, biasanya doktor yang merawat akan melakukan siasatan awal, seperti ujian darah, elektrokardiografi (ECG) dan ujian air kencing, untuk menentukan kehadiran faktor-faktor risiko dan juga menilai tahap kerosakan organ sasaran oleh penyakit yang sedia ada, jika ada.

Bagaimana Angin Ahmar Dirawat?

Rawatan untuk angin ahmar bergantung kepada sama ada ia disebabkan iskemia atau pendarahan.

Pada masa kini, terdapat rawatan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan organ daripada angin ahmar iskemia. Tetapi ia hanya diberi kepada pesakit yang datang awal- dalam tempoh empat setengah jam bermula dari gejala pertama.

Jika diagnosis pengimejan otak dilakukan segera, ‘tissue plasminogen activator’ (TPA) boleh diberi untuk melarutkan darah beku yang menyebabkan angin ahmar iskemia.

Secara umumnya, rawatan angin ahmar termasuk pengubahsuaian gaya hidup, rawatan ubat, rawatan pembedahan dan pemulihan. Ini adalah penting untuk meningkatkan peluang hidup, kecacatan fungsi dan mencegah serangan yang berulang.

Physiotherapy for stroke patientsRajah 3: Rawatan Pemulihan Untuk Pesakit Angin Ahmar

Bagaimana Angin Ahmar Dicegah?

Angin ahmar merupakan penyakit yang boleh dicegah. Gaya hidup sihat dan pengawalan yang baik untuk faktor-faktor risiko boleh membantu mengurangkan risiko angin ahmar.

Pengawalan tekanan darah yang baik dan mendapatkan rawatan jika ia tinggi adalah langkah yang terpenting untuk membantu anda mencegah angin ahmar. Ini kerana hipertensi adalah satu faktor risiko utama untuk angin ahmar. Paras gula darah dan kolesterol yang sihat juga boleh membantu mencegah angin ahmar.

Aspirin, salah satu terapi anti platelet, selalunya diberi kepada pesakit dengan sejarah angin ahmar iskemia atau mempunyai banyak faktor risiko mendapat strok. Aspirin dapat mencegah platelet darah daripada melekat bersama-sama dan menghalang pembentukan darah beku. Oleh itu, ia dapat bantu mencegah angin ahmar.

Exercising helps to lower blood pressureRajah 4: Bersukan Dapat Membantu Menurunkan Tekanan Darah Tinggi.

Rujukan

  1. Clinical practice guidelines for Management of Ischaemic stroke second edition (2011), Malaysia.
  2. American Heart Association World Stroke Academy (2007)
  3. http://www.emedicinehealth.com/stroke/article_em.htm
  4. Rajah 1: http://www.beliefnet.com/healthandhealing/getcontent.aspx?cid=11530
  5. Rajah 2: http://news.softpedia.com/newsImage/Re-Activating-Neurons-After-a-Stroke-2.jpg/
  6. Rajah 3: http://www.nasam.org/english/rehab-physio.php
  7. Rajah 4: http://www.ldsfitnessnetwork.com/category/blog/exercise/
Semakan Akhir : 10 Disember 2012
Penulis : Dr. Yeoh Chin Aun
Akreditor : Dr. Looi Irene

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …