Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Etiologi > Darah Tinggi Dan Sakit Kepala

Darah Tinggi Dan Sakit Kepala

Bolehkah Darah Tinggi Menyebabkan Sakit Kepala?

Darah tinggi (hipertensi) dan sakit kepala adalah masalah yang sering dihidapi oleh pesakit. Isu sama ada darah tinggi menyebabkan sakit kepala telah dibahaskan sejak hampir 100 tahun. Darah tinggi sebagai punca sakit kepala adalah munasabah tetapi hasil selidik tidak menyokong kenyataan ini.

Kekeliruan ini disebabkan penyakit darah tinggi dan sakit kepala kerap ditemui dalam kalangan rakyat. Terdapat banyak pesakit yang menghidap kedua-dua penyakit pada masa yang sama. Tambahan pula, terdapat pelbagai jenis sakit kepala dan seorang pesakit boleh mengalami beberapa jenis sakit kepala.

Buat masa ini, hubungan darah tinggi dan sakit kepala masih tidak jelas. Namun pada tahun 1988, International Headache Society berpandangan bahawa sakit kepala tidak mempunyai kaitan dengan darah tinggi pada peringkat rendah dan sederhana.

Sakit kepala boleh dibahagikan kepada punca primer dan sekunder. Walaupun gejala sakit kepala amat teruk, tetapi kebanyakan kes (~90%) tidak berbahaya.

Punca Primer

Sakit kepala berpunca daripada patologi saraf di dalam otak. Hampir 90% kes sakit kepala berada dalam kumpulan ini.

  • Migrain
    • Faktor penyebab termasuk tekanan fizikal dan emosi, kekurangan tidur, aktiviti fizikal, haid, suhu, lapar, ubatan (seperti pil perancang), trauma dan segelintir ramuan dalam makanan.
    • Simptom lazim termasuk sakit kepala (berdenyut-denyut, biasanya pada sebelah kepala sahaja), loya dan muntah. Sakit kepala menjadi lebih teruk kerana cahaya terang, pergerakan dan aktiviti fizikal.
    • Dibahagikan berdasarkan gejala visual aura kepada dua kumpulan:
      1. Dengan aura (ternampak bintik-bintik terang, kilat, garis bergigi, perubahan warna). Serangan migrain jarang boleh diiringi gejala aura bukan visual seperti kebas dan lemah anggota.
      2. Tanpa aura.
  • Sakit Kepala Kerana Tekanan
    • Berpunca daripada ketegangan otot leher, bahu dan kepala. Pesakit sering mengadu sakit di kedua-dua belah kepala.
  • Sakit Kepala Kluster
    • Kelompok serangan sakit kepala teruk yang berlangsung dari beberapa minit sehingga beberapa jam. Akan tetapi, serangan ini berulang setiap hari dan berlanjutan sehingga beberapa minggu atau bulan. Selepas serangan berkurangan, pesakit mungkin bebas daripada sakit kepala untuk beberapa bulan atau tahun. Sakit kepala kluster jarang ditemui.

Punca Sekunder

Berpunca daripada masalah struktur otak atau penyakit di luar sistem saraf/otak. Ini termasuk darah tinggi teruk, ketumbuhan/kancer otak, komplikasi kehamilan (misalnya pra eclampsia dan eclampsis) dan angin ahmar.

Darah tinggi peringkat serius boleh menyebabkan sakit kepala. Sila berjumpa doktor sekiranya tuan/puan mengalami gejala berikut:

  • Sakit kepala yang paling teruk pernah dialami atau menjadi teruk dengan mendadak.
  • Sakit kepala teruk dengan demam dan ketegangan leher.
  • Sakit kepala dengan sawan, perubahan sensorium atau hilang kesedaran.
  • Sakit kepala pertama kali yang dikaitkan dengan gejala visual atau lemah dan kebas anggota.

Sakit Kepala Yang Disebabkan Oleh Ubatan Hipertensi

Ubat hipertensi boleh menyebabkan sakit kepala untuk pesakit-pesakit tertentu. Ubatan termasuk calcium channel blockers (diltiazem, amlodipine, felodipine) dan vasodilators (hydralazine).

Tambahan pula ubatan jantung seperti nitrates juga boleh menyebabkan sakit kepala.

Doktor/ahli farmasi akan meneliti hubungan masa permulaan ubat dan masa permulaan sakit kepala untuk mengenal pasti punca kesakitan.

Rujukan

  1. Bajwa, Z., & Wootton, J. (2012). Patient information: Headache causes and diagnosis in adults (beyond the basics). In J. Swanson & J. Dashe (Eds.),UpToDate. Wolters Kluwer.
  2. Friedman, D. (2002). Headache and hypertension: refuting the myth. J Neurol Neurosurg Psychiatry, (72), 431. Retrieved from http://jnnp.bmj.com/content/72/4/431.full
  3. Hagen K, Strovmer LJ, Vatten L, et al. Blood pressure and risk of headache: a prospective study of 22 685 adults in Norway. J Neurol Neurosurg Psychiatry 2002;72:463–6.
  4. Yeung, A. (2006). What is the connection between hypertension, headache and migraine?.Hypertension Canada, (87), 1. Retrieved from www.stacommunications.com/customcomm/…/June2006eng.pdf
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Yoon Chee Kin
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …