Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Saringan - Hipertensi > Saya Ada Hipertensi, Langkah Selepas Diagnosis

Saya Ada Hipertensi, Langkah Selepas Diagnosis

Objektif Penilaian

Penyakit hipertensi boleh dirawat. Akan tetapi, hipertensi biasanya bersifat sebagai pembunuh senyap kerana tidak menampakkan gejala bertahun-tahun sehingga komplikasi telah berlaku.

Objektif penilaian semasa rundingan pertama untuk hipertensi adalah seperti berikut:

  1. Mengenal pasti punca hipertensi sekunder.
  2. Mengenal pasti dan menilai komplikasi dan tanda-tanda kegagalan organ.
  3. Mengenal pasti gaya hidup, faktor-faktor risiko dan penyakit lain (seperti kencing manis) yang boleh mempengaruhi rawatan tuan/puan.

Soalan Lazim Yang Akan Ditanya

Doktor tuan/puan akan bertanya soalan-soalan berikut. Sesi rundingan membawa lebih manfaat sekiranya tuan/puan memikirkan jawapan terlebih dahulu sebelum tarikh temujanji. Doktor tuan/puan boleh menjelaskan keraguan tuan/puan pada sesi yang sama.

  • Berapa lama tuan/puan sudah menghidap penyakit hipertensi? Adakah tuan/puan mengetahui paras darah tinggi?
  • Adakah tuan/puan menghidap penyakit lain seperti sakit jantung, penyakit buah pinggang, angin ahmar, kencing manis, gout atau paras kolesterol tinggi?
  • Adakah tuan/puan mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap penyakit hipertensi, sakit jantung, penyakit buah pinggang, angin ahmar, kencing manis atau paras kolesterol tinggi?
  • Butiran mengenai tabiat pemakanan tuan/puan, misalnya kuantiti garam, gula, lemak dan alkohol.
  • Butiran mengenai ubatan yang diambil termasuk ubatan klinik/hospital, dibeli dari farmasi dan ubatan tradisional.
  • Butiran mengenai gaya hidup dan faktor risiko yang boleh mempengaruhi rawatan tuan/puan.
  • Soalan-soalan lebih spesifik untuk mengenal pasti punca sekunder dan komplikasi kegagalan organ.

1

Langkah-Langkah Pemeriksaan Fizikal

Doktor akan menjalankan pemeriksaan berikut:

  • Mengukur dan merekod tinggi, berat dan lilitan pinggang.
  • Mengukur paras tekanan darah di bahagian lengan. Ukuran tekanan darah mungkin diulangi di lengan atau posisi berlainan sekiranya perlu.
  • Pemeriksaan mata ringkas dengan alat funduscope. Alat ini mengeluarkan cahaya terang untuk meneliti salur darah di dalam mata.
  • Pemeriksaan asas nadi, jantung dan paru-paru.
  • Pemeriksaan asas sistem saraf dan perut.
  • Pemeriksaan lebih terperinci untuk mengenal pasti punca sekunder sekiranya perlu.

Apakah Ujian Yang Tuan/Puan Perlu Ambil?

Doktor akan menasihati tuan/puan supaya membuat ujian asas dalam sesi rundingan pertama. Ujian ini disenaraikan di dalam jadual di bawah. Ujian khusus untuk mengenal pasti punca sekunder atau komplikasi akan dijalankan sekiranya perlu.

2

Apakah Punca-Punca Sekunder Hipertensi?

Hipertensi sekunder ialah keadaan dimana tekanan darah tinggi disebabkan oleh penyakit tertentu. Ia melibatkan 5% daripada jumlah pesakit darah tinggi. Objektif rawatan adalah untuk merawat penyakit-penyakit ini. Tekanan darah akan kembali normal apabila penyakit sekunder ini terkawal atau sembuh.

95% pesakit mengidap darah tinggi primer di mana punca tidak dapat dikesan.

3

Siapakah Yang Perlu Menjalani Ujian Khusus/Tambahan Untuk Hipertensi Sekunder?

Pesakit dengan ciri-ciri berikut perlu menjalani ujian tambahan:

  • Paras tekanan darah yang susah dikawal (lebih daripada 3 ubat hipertensi termasuk diuretik).
  • Paras tekanan darah yang meningkat secara mendadak.
  • Pesakit di bawah atau berumur 30 tahun yang tidak mempunyai faktor risiko lain.
  • Darah tinggi peringkat serius dengan tanda kegagalan organ.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kegagalan Organ?

Darah tinggi boleh memudaratkan banyak organ. Ini disebabkan darah mengalir ke seluruh badan. Peningkatan tekanan ini disalurkan ke organ tersebut dan akhirnya menyebabkan kegagalan organ. Penemuan kesan kegagalan organ membolehkan perlaksanaan rawatan dan langkah pencegahan.

4

Rujukan

  1. Hypertension. In (2012). Wikipedia. Retrieved from http://en.wikipedia.org/wiki/Hypertension
  2. Ministry of Health, Division of disease control (2008). Management of hypertension (3rd edition), quick reference for healthcare providers. Pg.4
  3. Rahid , A., & Safura, A. Ministry of Health, Division of disease control. (2008). Management of hypertension (3rd edition), training module for healthcare providers
  4. Secondary Hypertension. In (2012). Wikipedia. Retrieved from http://en.wikipedia.org/wiki/Secondary_hypertension
  5. Testor, S. (2012). Who should be evaluated for renovascular or other causes of secondary hypertension?. In G. Bakris, N. Kaplan & J. Forman (Eds.), UpToDate. Wolters Kluwer.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Yoon Chee Kin
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar