Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Hipertensi > Penghalang Saluran Kalsium (CCBS)

Penghalang Saluran Kalsium (CCBS)

Indikasi

Antihipertensi

Dos

Dos yang perlu diambil adalah berbeza antara pesakit dimana ia bergantung kepada keadaan penyakit darah tinggi. Sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi untuk rawatan penyakit darah tinggi anda. Apabila anda mula mengambil ubat untuk merawat darah tinggi, ambil ubat-ubatan tersebut setiap hari secara tetap dengan dos yang betul.

Administrasi

Secara umumnya, dinasihatkan anda ambil ubat ini selepas makan untuk mengurangkan masalah ketidakselesaan perut. Sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan yang lebih tepat.

Nama Generik Administrasi

Nifedipine

1

 

Bersama atau tanpa makanan. Jauhi jus limau gedang (grapefruit).

Amlodipne

2

Bersama atau tanpa makanan.

Felodipine

3

 

Ambil bersama makanan yang sedikit atau tanpa makanan.

Mekanisma Tindakan

Penghalang Saluran Kalsium(CCBs) akan terikat pada tapak (receptor) Saluran kalsium berbentuk L di otot licin pembuluh darah, otot jantung, dan noda tisu jantung (sinoatri dan noda atrioventrikular). Saluran ini bertanggungjawab sebagai saluran untuk kemasukan kalsium ke dalam sel otot, yang mana ia kemudiannya akan merangsang pengecutan otot licin dan otot jantung.

Dengan menghalang kemasukan kalsium ke dalam sel, CCBs akan menyebabkan otot licin salur darah relax (mengembang), mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh otot jantung (inotropi negatif), mengurangkan kadar jantung (kronotropi negatif) dan mengurangkan aliran pengangkutan di dalam jantung (dromotropi negatif). Dengan relaksasi otot licin salur darah, CCBs akan mengurangkan kerintangan sistem vaskular, yang mana akan mengurangkan tekanan darah arteri.

Kesan Sampingan

Kesan sampingan untuk setiap jenis ubat adalah berbeza dan kesan sampingan yang dialami diantara pesakit juga mungkin berbeza. Kesan sampingan yang biasa bagi setiap jenis ubat adalah disenaraikan seperti dibawah :

Nama Generik Kesan SampinganYang Biasa
Nifedipine Sakit kepala, oedema (pembengkakan akibat pengumpulan cecair), sembelit, rasa tidak selesa.
Amlodipne Oedema, sakit kepala, loya, letih, mengantuk, sakit perut.
Felodipine Muka merah, sakit kepala, berdebar, loya, letih, oedema pada anggota peripheral (tangan atau kaki).

Berjumpa atau dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengalami kesan sampingan daripada ubat-ubatan darah tinggi yang anda makan.

Penyimpanan

Dinasihatkan ubat-ubatan disimpan di dalam sampul ubat asal dengan label arahan pengambilan / cara makan yang jelas. Simpan pada suhu bilik. Rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan suhu penyimpanan.

Untuk maklumat lanjut, rujuk laman web portal MyHealth ‘Cara Penyimpanan Ubat yang Betul’.

Rujukan

  1. Cardiovascular Pharmacology Concepts
  2. http://www.cvpharmacology.com/vasodilator/CCB
  3. http://pharmacologycorner.com/mechanism-of-action-video
  4. British National Formulary (BNF) 61 March 2011
  5. MIMS 128th Edition 2012
  6. ‘Cara Penyimpanan Ubat Yang Betul’ (http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/my/ubat-a-anda/umum/cara-penyimpanan-ubat-yang-betul)
  7. Mechanism of Action of Calcium Channel Blocker http://www.cvpharmacology.com/Acilliary/search
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Azura Binti Musa
Akreditor : Dr. Siti Norlina Binti Md. Said

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …