Jumaat , Mac 29 2024
msen
Utama > Hipertensi > Perencat Reseptor Angiotensin II (ARBS)

Perencat Reseptor Angiotensin II (ARBS)

Indikasi

Antihipertensi

Dos

Dos yang perlu diambil adalah berbeza antara pesakit dimana ia bergantung kepada keadaan penyakit darah tinggi. Sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi untuk rawatan penyakit darah tinggi anda. Apabila anda mula mengambil ubat untuk merawat darah tinggi, ambilah ubat-ubatan tersebut setiap hari secara tetap dengan dos yang betul.

Administrasi

Secara umumnya, dinasihatkan anda ambil ubat ini selepas makan bagi mengurangkan ketidakselesaan perut. Sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan yang lebih tepat.

Nama Generik Administrasi

Losartan

3

Bersama atau tanpa makanan

Valsartan

2

Bersama atau tanpa makanan

Irbesartan

1

Bersama atau tanpa makanan
Telmisartan Bersama atau tanpa makanan

Mekanisma Tindakan

ARBs mempunyai tindakan seperti di bawah, yang mana ianya lebih kurang serupa dengan tindakan Perencat Enzim Angiotensin (ACE Inhibitor):

  • Mengembangkan salur darah arteri dan vena, dengan itu mengurangkan tekanan arteri dan preload (isipadu akhir diastolik ketika permulaan sistol / sebelum kontraksi) dan afterload (tensi yang dihasilkan oleh otot jantung selepas kontraksi) jantung.
  • Mengurangkan aktiviti simpatetik adrenergik dengan menghalang kesan angiotensin II (bahan yang berfungsi untuk mengecutkan salur darah / vasokonstriktor) pada saraf simpatetik dan pengambilan semula norepinefrin (hormone atau neurotransmiter yang mengecutkan salur darah dan menghalang pendarahan).
  • Merangsang pengeluaran air dan garam daripada ginjal (kesan natriuretik dan diuretik) dengan menghalang kesan Angiotensin II di ginjal dan kesan rangsangan angiotensin II terhadap pengeluaran aldosteron (hormone steroid yang merangsang retensi garam dengan itu meningkatkan tekanan darah).
  • Merencat penstrukturan semula jantung dan vaskular berikutan hipertensi kronik, kegagalan jantung dan miokardiak infak (sesetengah bahagian jantung mengalami kerosakan dan otot mati).

Kesan Sampingan

Kesan sampingan untuk setiap jenis ubat adalah berbeza dan kesan sampingan yang dialami diantara pesakit juga mungkin berbeza. Kesan sampingan yang biasa bagi setiap jenis ubat adalah disenaraikan seperti dibawah:

Nama Generik Administrasi
Losartan Sakit perut, letih, sakit dada, oedema (pembengkakan akibat pengumpulan cecair), berdebar, hipotensi (tekanan darah rendah), sakit urat dan tulang, sakit kepala, vertigo (terasa seperti tidak seimbang / berpusing-pusing)
Valsartan Rasa malas, hipotensi, sakit kepala
Irbesartan Rasa malas, loya, muntah, letih, ortostatik hipotensi (penurunan tekanan darah yang mengejut dan berlaku dengan cepat ketika berdiri), sakit urat dan tulang
Telmisartan Gangguan tidur, hipotensi, sakit perut, mulut kering, kembung, sakit urat dan tulang, vertigo

Berjumpa atau dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengalami kesan sampingan daripada ubat-ubatan darah tinggi yang anda makan.

Penyimpanan

Dinasihatkan ubat-ubatan disimpan di dalam sampul ubat asal dengan label arahan pengambilan / cara makan yang jelas. Simpan pada suhu bilik. Rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan suhu penyimpanan.

Rujukan

  1. Mechanism of Action of Angiotensin Converting Enzyme http://www.cvpharmacology.com/Acilliary/search
  2. http://pharmacologycorner.com/mechanism-of-action-video
  3. British National Formulary (BNF) 61 March 2011
  4. MIMS 128th Edition 2012
  5. ‘Cara Penyimpanan Ubat Yang Betul’ (http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/my/ubat-a-anda/umum/cara-penyimpanan-ubat-yang-betul)
  6. Mechanism of Action of Angiotensin Antagonist Blocker http://www.cvpharmacology.com/Acilliary/search
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Azura Binti Musa
Akreditor : Dr. Siti Norlina Binti Md. Said

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …