Indikasi
Agen diuresis (meningkatkan pengeluaran air kencing), antihipertensif.
Dos
Dos yang perlu diambil adalah berbeza antara pesakit dimana ianya bergantung kepada keadaan penyakit darah tinggi. Sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi untuk rawatan penyakit darah tinggi anda. Apabila anda mula mengambil ubat untuk merawat darah tinggi, ambil ubat-ubatan tersebut setiap hari secara tetap dengan dos yang betul.
Administrasi
Secara umumnya, dinasihatkan anda ambil ubat ini dengan makanan atau selepas makan untuk mengurangkan kesan gangguan ketidakselesaan perut. Sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan yang lebih tepat:
Nama Genetik | Administrasi |
Frusemide |
Ambil dengan makanan / selepas makan |
Hydrochlorothiazide |
Bersama makanan |
Spironolactone |
Bersama makanan |
Indapamide | Bersama makanan |
Amiloride | Bersama makanan |
Mekanisma Tindakan
Ubat diuretik meningkatkan proses diuresis (pengeluaran urin / air kencing) oleh buah pinggang. Peningkatan pengeluaran urin akan mengurangkan isipadu cecair di dalam badan, dengan itu ia akan mengurangkan kerintangan sistem vaskular, dan seterusnya pengurangan tekanan darah akan berlaku.
Kebanyakan diuretik menghasilkan diuresis dengan menghalang proses penyerapan semula garam daripada sistem tubular ginjal pada segmen yang berbeza. Terdapat 3 jenis diuretik yang utama iaitu:
- Diuretik Loop – merencat pengangkutan garam-kalium-klorida pada tubul tebal renal menaik (thick ascending limb).
- Diuretik Thiazide – merencat pengangkutan garam-klorida di tubul distal.
- Diuretik Penjimatan Kalium – tidak seperti diuretik loop dan thiazide, kebanyakan ubat dalam jenis ini tidak bertindak secara langsung ke atas pengangkutan garam. Ubat dalam jenis ini bertindak secara antagonis (berlawanan) kepada tindakan aldosteron (hormone yang mengawal keseimbangan air dan garam di dalam buah pinggang dengan menyekat pengeluaran garam dan membebaskan potassium ke badan) di segmen distal pada tubul distal. Ini akan menyebabkan lebih banyak garam (dan air) melepasi ke dalam duktus pengumpul dan dibuang melalui urin / air kencing.
Buah Pinggang / Ginjal – Sistem Tubular Ginjal
Beginilah caranya ginjal mengawal garam. Sekiranya ginjal mengeluarkan banyak garam, maka pengeluaran air juga akan meningkat.
Kesan antihipertensif oleh diuretik dihasilkan daripada kemampuan ubat diuretik untuk mengurangkan isipadu cecair tubuh seterusnya mengurangkan kadar pengeluaran jantung. Dengan terapi jangka panjang, kerintangan sistem vaskular akan berkurang dan dengan itu akan mengurangkan tekanan darah.
Kesan Sampingan
Kesan sampingan untuk setiap jenis ubat adalah berbeza dan kesan sampingan yang dialami diantara pesakit juga mungkin berbeza. Kesan sampingan yang biasa bagi setiap jenis ubat adalah disenaraikan seperti dibawah:
Nama Genetik | Kesan Sampingan yang biasa |
Frusemide
(Diuretik Loop) |
Jangkitan kulit, eritema (kemerahan pada kulit), gatal, gangguan penglihatan, postural hipotensi (berlaku penurunan tekanan darah akibat perubahan kedudukan badan), loya, tinitus (mendengar bunyi-bunyian atau bunyi lain tanpa ada pencetus bunyi di sebelah atau dua-dua belah telinga atau di dalam kepala), penurunan serum potasium |
Hydrochlorothiazide (Diuretik Thiazide) | Gangguan perut, sakit kepala, pening, postural hipotensi, penurunan serum potasium |
Indapamide (Diuretik Thiazide) | Letih, ortostatik hipotensi (penurunan tekanan darah yang mengejut dan berlaku dengan cepat ketika berdiri), penurunan serum kalium |
Spironolactone (Diuretik Penjimatan Kalium) | Sakit kepala, loya, gangguan ketidakselesaan perut, penurunan serum sodium / garam (hiponatraemia), penurunan serum potasium (hipokalaemia) |
Amiloride (Diuretik Penjimatan Kalium) | Sakit kepala, letih, loya, ortostatik hipotensi |
Berjumpa atau dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengalami kesan sampingan daripada ubat-ubatan diuretik yang anda makan.
Penyimpanan
Dinasihatkan ubat-ubatan disimpan di dalam sampul ubat asal dengan label arahan pengambilan / cara makan yang jelas. Simpan pada suhu bilik. Rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan suhu penyimpanan.
Bagi maklumat lanjut, rujuk laman web portal MyHealth ‘Cara Penyimpanan Ubat Yang Betul’.
Rujukan
- Cardiovascular Pharmacology Concepts (http://www.cvpharmacology.com/diuretic/diuretics)
- http://pharmacologycorner.com/mechanism-of-action-video
- British National Formulary (BNF) 61 March 2011
- MIMS 128th Edition 2012
- ‘Cara Penyimpanan Ubat Yang Betul’ (http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/my/ubat-a-anda/umum/cara-penyimpanan-ubat-yang-betul)
- Mechanisms of Action of Diuretics (http://www.cvpharmacology.com/Acilliary/search)
- Buah Pinggang / Ginjal ~ system tubular ginjal (http://www.cvpharmacology.com/Acilliary/search)
Semakan Akhir | : | 2 Mac 2016 |
Penulis | : | Pn. Azura Binti Musa |
Akreditor | : | Dr. Siti Norlina Binti Md. Said |