Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Diabetes > Rawatan > Bukan Ubat-ubatan / Non-pharmacological (+3) > Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan

Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa pesakit diabetes perlu mengelak daripada mengambil makanan tersebut. Sebenarnya tanggapan tersebut adalah tidak tepat.

Makanan atau minuman manis masih boleh diambil tetapi pada kadar yang rendah. Topik ini akan membincangkan bagaimana anda masih boleh menikmati hidangan anda dengan menggunakan teknik yang dipanggil “kira-kira karbohidrat”.

Apa yang perlu saya tahu tentang karbohidrat?

  • Karbohidrat merupakan sumber tenaga utama untuk badan.
  • Terdapat 2 jenis karbohidrat iaitu karbohidrat kompleks dan karbohidrat ringkas.
Contoh makanan mengandungi karbohidrat kompleks Contoh makanan mengandungi karbohidrat ringkas
  • Nasi
  • Roti
  • Kentang
  • Gula
  • Kordial
  • Kuih manis
  • Dalam tubuh manusia, karbohidrat kompleks akan dicernakan dan diserap sebagai gula.
  • Seandainya karbohidrat diambil dalam kuantiti yang banyak, paras gula dalam darah boleh meningkat.

Apa itu kira-kira karbohidrat?

“Berapa banyak air seseorang individu perlu minum dalam sehari? Jawapannya ialah antara 6 hingga 8 gelas sehari”. Konsep kira-kira karbohidrat adalah sama.

Anda mungkin tertanya-tanya berapa banyak karbohidrat yang boleh anda makan? Pegawai Dietetik anda mungkin akan memberi jawapan 10 unit. Pendek kata, kira-kira karbohidrat merupakan suatu teknik untuk mengukur dan menentukan jumlah karbohidrat yang boleh dimakan dalam sehari mengikut keperluan badan dan pengambilan ubat (sekiranya ada).

Mengapa kira-kira karbohidrat penting untuk pesakit diabetes?

Pengiraan dan pemantauan karbohidrat merupakan kunci utama untuk kawalan gula optimum dalam darah. Selain itu, pesakit diabetes juga perlu memastikan bahawa ubat diabetes dimakan seperti yang dipreskripsi dan senaman perlu dilakukan secara konsisten.

Apakah makanan yang menjadi sumber karbohidrat?

  • Nasi, pasta, bijirin.
  • Biskut, roti.
  • Sayur berkanji seperti labu dan kentang.
  • Kacang dan kekacang seperti kacang merah, barli dan dhal.
  • Buah-buahan dan jus buah.
  • Makanan atau minuman manis seperti kek, kuih-muih dan teh tarik.
  • Susu dan produk tenusu.

Berapa banyak karbohidrat yang anda perlukan?

Anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan Pegawai Dietetik untuk mengetahui jumlah karbohidrat yang diperlukan oleh tubuh badan anda. Pegawai Dietetik anda juga boleh menyediakan pelan pemakanan anda dalam sehari.

Secara umumnya, perempuan memerlukan 3 hingga 4 unit karbohidrat manakala lelaki memerlukan 4 hingga 5 unit karbohidrat untuk setiap hidangan utama dan 1 hingga 2 unit karbohidrat untuk hidangan snek. Keperluan ini bergantung juga kepada tahap aktiviti fizikal anda.

Carbohydrate Counting For Diabetics1

Seberapa banyak yang dikatakan 1 unit karbohidrat?

1 unit karbohidrat = 15 gram karbohidrat

Senarai makanan untuk 1 unit karbohidrat adalah seperti di bawah.

Roti dan Bijirin

·         ½ cawan nasi

·         1 cawan bubur pekat

·         ½ cawan kue tiau/ mihun/ loh see fun

·         1 keping roti

·         ¾ cawan bijirin sarapan pagi

·         3 keping biskut kraker

·         1/3 cawan pasta (dimasak)

·         1/3 keping tosai

·         ½ keping capati

·         ¼ cawan oat (mentah)

·         ½ cawan keledek/ ubi kayu/ keladi

·         1 biji kecil ubi kentang

·         ½ cawan kacang panggang

·         1 batang kecil jagung rebus (6 cm)

 Buah-buahan

·         1 biji sederhana epal/ oren/ pir/ kiwi

·         1 biji kecil pisang (pisang emas)

·         2 biji kecil manggis/ plum

·         8 biji anggur/ langsat/ longan

·         ½ biji kecil mangga

·         ½ cawan buah dalam tin

·         5 biji laici/ rambutan

·         1 potong betik/ tembikai/ nanas

·         3 biji prun

·         2 biji kurma

·         2 ulas durian

·         ½ cawan jus buah

 Susu dan Hasil Tenusu

·         1 cawan susu lembu segar

·         1 cawan susu segar UHT

·         1 cawan susu kacang soya

·         4 sudu makan membumbung susu tepung

·         ¾ cawan yogurt

·         2 keping keju

·         2 sudu makan keju parut

Gula dan Makanan/Minuman Bergula

·         1 sudu makan jem/ jeli/ gula/ madu

·         2 sudu makan sirap/ kordial

·         ½ cawan aiskrim/ yogurt beku

·         2 keping kecil “cookies” (2/3 auns)

Pengiraan Karbohidrat Bagi Pesakit Diabetes

Anda masih keliru? Sila lihat contoh di bawah.

Bayangkan anda telah makan makanan berikut sebagai hidangan tengah hari.

Contoh 1

  • 1 ½ cawan nasi,
  • 1 ketul sederhana ayam masak sup,
  • 4 sudu makan bayam tumis,
  • 1 biji sederhana epal, dan
  • 1 gelas air kosong.

Langkah 1 : Kenal pasti makanan mangandungi karbohidrat iaitu nasi dan epal.

Langkah 2 : Jom kira-kira karbohidrat ;

½ cawan nasi = 1 unit karbohidrat.

Oleh itu, 1 ½ cawan = 3 unit karbohidrat.

1 biji sederhana epal = 1 unit karbohidrat.

Maka jumlah unit karbohidrat yang telah anda makan adalah 4 unit.

Contoh 2

  • 1 keping sederhana ban kosong,
  • ½ cawan kentang lecek,
  • 1 keping standard filet ayam panggang, sayur stim, dan
  • 1 cawan jus oren tanpa gula.

Langkah 1 : Kenal pasti makanan mangandungi karbohidrat iaitu ban, kentang lecek dan jus oren.

Langkah 2 : Kira-kira karbohidrat ;

1 keping ban = 1 unit,

½ cawan kentang lecek = 1 unit, dan

1 cawan jus oren tanpa gula = 1 unit.

Jumlah unit = 3 unit karbo.

Pengiraannya agak mudah. Anda setuju? Mungkin pada permulaanya kira-kira karbohidrat agak mengelirukan tetapi apabila anda menjadikan pengiraan ini sebagai satu amalan, kira-kira karbohidrat adalah semudah ABC.

Peringatan untuk pesakit diabetes

Walaupun anda dibenarkan untuk menikmati makanan dan minuman manis dalam diet seharian, anda perlu ingat bahawa pengambilan utama karbohidrat sepatutnya datang daripada sumber buah, sayur, bijirin, susu rendah lemak dan yogurt.

Makanan tersebut adalah lebih sihat kerana ia membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh anda.

Seorang pesakit diabetes seharusnya mendapatkan nasihat lebih lanjut daripada Pegawai Dietetik. Dengan cara ini, nasihat pemakanan yang diberikan adalah lebih terperinci dan dicadangkan mengikut keperluan tubuh anda.

Sila layari laman web Persatuan Dietitian Malaysia di www.dietitians.org.my untuk mengenal pasti di mana anda boleh mendapatkan nasihat Pegawai Dietetik yang berdekatan.

 

 

Rujukan

  1. American Diabetes Association. diabetes.org
  2. Clinical Practice Guidelines on Management of Type 2 Diabetes Mellitus, Malaysia 4th edition 2009.
  3. Malaysians’ Dietitians Association (2013). Medical Nutrition Therapy Guidelines for Type 2 Diabetes.

 

Semakan Akhir : 18 Oktober 2014
Penulis : Pn. Jamilah binti Abd. Jamil
Akreditor : Pn. Rashidah binti Ambak

Baca Juga

Katarak Pesakit Diabetes

Apakah katarak? Katarak adalah keadaan di mana kanta mata yang kebiasaannya sangat jernih atau lutsinar …