Isnin , April 29 2024
msen
Utama > Diabetes > Katarak Pesakit Diabetes

Katarak Pesakit Diabetes

Apakah katarak?

Katarak adalah keadaan di mana kanta mata yang kebiasaannya sangat jernih atau lutsinar menjadi kabus atau legap. Kanta mata yang jernih diperlukan untuk kita melihat dengan terang seperti sebuah kamera. Kamera yang mempunyai kanta yang baik fungsinya akan memberikan kita foto yang cantik dan sebaliknya akan berlaku jika kanta kamera itu rosak.

Contoh kanta mata yang normal dan katarak (legap)

Gambar 1: Contoh kanta mata yang normal dan katarak (legap)

Untuk lebih memahami kesan katarak pada mata, kita hendaklah mengetahui bagaimana mata kita melihat dengan normal. Cahaya akan memasuki mata melalui anak mata (pupil) dan akan difokuskan melalui kanta ke lapisan saraf retina, iaitu satu lapisan yang sangat sensitif pada cahaya.

Imej yang telah difokuskan ke atas retina akan ditukarkan dalam bentuk isyarat untuk dibawa ke otak dan kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk imej yang terang. Walau bagaimanapun, apabila kanta mata menjadi kabur dan tidak jelas seperti yang berlaku dalam katarak, ia menyebabkan cahaya atau imej tidak dapat difokuskan dengan baik ke atas retina dan menyebabkan kerabunan.

Kanta jelas dan katarak menyebabkan kesan berlainan pada imej yang dilihat

Gambar 2: Kanta jelas dan katarak menyebabkan kesan berlainan pada imej yang dilihat.

Siapakah yang mempunyai risiko untuk menghidapi katarak?

Terdapat banyak faktor risiko yang menyebakan terjadinya katarak, seperti faktor umur, diabetes mellitus, kecederaan pada mata, pembedahan mata untuk penyakit lain dan penggunaan ubat-ubatan steroid (ubat titis/inhaler dan nasal spray). Walau bagaimanapun, faktor yang paling ketara adalah faktor usia dan penghidap diabetes.

Pesakit diabetes yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi akan menyebabkan kanta mata menjadi tebal dan legap dan menghalang cahaya daripada memasuki mata dengan sepenuhnya. Keadaan legap ini dinamakan katarak. Sekiranya kadar legap adalah sedikit atau minimal, penglihatan mungkin masih tidak terganggu. Sekiranya kanta menjadi semakin legap dan berkabus, penglihatan mungkin akan terganggu dengan teruknya.

Apakah tanda-tanda katarak?

Kebanyakan katarak yang disebabkan oleh usia berlaku secara perlahan. Pada tahap awal, ia mungkin tidak memberi sebarang masalah atau perubahan. Seterusnya apabila katarak semakin menebal, ia akan menyebabkan tanda-tanda seperti kerabunan yang tiada rasa sakit, masalah untuk membaca atau memandu kereta, terutamanya pada waktu malam disebabkan oleh silau yang teruk.

Perbandingan imej yang jelas dan juga imej kabur disebabkan oleh katarak

Gambar 3: Perbandingan imej yang jelas dan juga imej kabur disebabkan oleh katarak

Apakah komplikasinya jika katarak yang disebabkan oleh diabetes tidak dirawat?

Pesakit-pesakit diabetes yang menghidapi katarak pada kedua-dua mata kebiasaannya mengalami kerabunan yang teruk. Ini menyebabkan pergerakan dan aktiviti-aktiviti harian mereka terganggu dan terdedah kepada risiko kecederaan seperti jatuh tangga dan tersalah mengambil ubat.

Pesakit-pesakit diabetes yang menghidapi katarak juga terdedah kepada risiko untuk menghidapi penyakit diabetic retinopathy. Diabetic retinopathy adalah kerosakan saraf mata atau retina yang disebabkan oleh diabetes melitus dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta jika tidak dikesan dan diberi rawatan awal. Ini kerana, keupayaan doktor untuk melihat dan merawat struktur dalam mata termasuk retina akan terjejas disebabkan oleh katarak.

Apakah rawatan untuk katarak?

Katarak tidak perlu dibedah pada tahap awal, lebih-lebih lagi jika penglihatan masih tidak terganggu. Terdapat kes yang perlu menukar cermin mata untuk membolehkan penglihatan menjadi lebih terang dan jelas. Apabila katarak menjadi lebih legap dan masalah penglihatan menjadi ketara dan mengganggu aktiviti harian, pembedahan katarak adalah diperlukan dan kanta akan diganti dengan penggunaan kanta palsu.

Prosedur pembedahan ini banyak dilakukan dengan menggunakan alat ultrabunyi (ultrasound) untuk proses emulsifikasi katarak. Ia adalah pembedahan yang boleh dilakukan secara bius setempat dan selalunya mengambil masa kurang dari 30 minit sahaja. Sekiranya perlu dirawat, hanya pembedahan yang dapat dilakukan.

Phacoemulsification (proses pembedahan katarak yang menggunakan alat ultrasound)

Gambar 4: Phacoemulsification (proses pembedahan katarak yang menggunakan alat ultrasound)

Bagaimanakah kita mencegah katarak yang disebabkan oleh diabetes mellitus?

Pesakit diabetes mellitus boleh mengurangkan risiko untuk mendapat katarak dengan sentiasa menjaga/mengawal paras gula dalam darah dan mengamalkan diet seimbang. Secara umumnya, risiko untuk menghidapi katarak semakin tinggi sekiranya pesakit tidak mempunyai kawalan gula yang baik dan terkawal. Dengan menjaga pemakanan dan mengambil ubat diabetes, ia juga dapat mencegah daripada menghadapi penyakit diabetes retinopati yang boleh menyebabkan kebutaan.

Rujukan:

Gambar 1. medicalpptonline.blogspot.com kisbyto.blogspot.com

Gambar 2. eye-surgery-advice.info

Gambar 3: harvardeye.com

Gambar 4: mayoclinic.com

Kuiz

  1. Apakah katarak?
  1. kanta mata yang berkabus dan tidak jelas
  2. parut pada kornea
  3. retina yang telah rosak

Jawapan: A

  1. Apakah tanda- tanda katarak?
  1. sakit
  2. pandangan yang kabur
  3. juling mata

Jawapan: B

  1. Bagaimana merawat katarak?
  1. pembedahan mata
  2. mengambil ubat-ubatan sahaja
  3. mengambil herba

Jawapan: A

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …