Ahad , April 28 2024
msen
Utama > Diabetes > Rawatan > Bukan Ubat-ubatan / Non-pharmacological (+3) > Diabetes, Diet dan Glukosa Darah

Diabetes, Diet dan Glukosa Darah

Pengenalan

Raw-food-diabetes-01 (www.myhealthylivingcoach.com) edit
(sumber : www.myhealthylivingcoach.com)

 

Diabetes adalah penyakit yang dipengaruhi oleh apa yang anda makan. Makanan akan ditukar kepada gula dan digunakan sebagai tenaga.

Pankreas pula adalah organ berhampiran dengan perut. Ia menghasilkan hormon iaitu insulin yang membantu gula diserap oleh sel dalam badan.

Jika anda adalah penghidap diabetes, badan anda tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi. Ini menyebabkan gula tinggi di dalam darah. Kawalan aras gula dalam darah dapat mengurangkan komplikasi penyakit diabetes seperti kegagalan buah pinggang, kebutaan mata (retinopathy) dan penyakit-penyakit kronik lain.

Bagaimanakah gula dalam darah boleh meningkat atau menurun?

Peningkatan gula dalam darah adalah disebabkan oleh :

  • Tidak mengawal pemakanan dan mengambil makanan berkarbohidrat (seperti nasi, mee, roti) lebih daripada keperluan.
  • Tidak aktif secara fizikal.
  • Dos ubat diabetes yang tidak mencukupi.
  • Kesan sampingan ubat lain.
  • Jangkitan atau sakit seperti demam panas atau demam selsema.
  • Stres.
  • Perubahan aras hormon dalam badan.

Penurunan gula dalam darah adalah disebabkan oleh :

  • Kurang mengambil makanan atau kurang makan makanan berkarbohidrat berbanding keperluan.
  • Melangkau waktu makan seperti tidak mengambil sarapan pagi.
  • Minum alkohol secara berlebihan, terutama ketika perut kosong.
  • Dos ubat yang berlebihan.
  • Kesan sampingan daripada ubat.
blood glucose
(sumber : www.adam.com)

 

Apakah ujian yang penting dalam diabetes mellitus?

1. Gula darah semasa berpuasa (Fasting Blood Sugar – FBS)

  • Ujian ini adalah untuk mengukur paras gula dalam darah anda.
  • Anda perlu berhenti makan dan minum 8 jam sebelum darah diambil.

2. Gula darah semasa tidak berpuasa (Random Blood Sugar – RBS)

  • Ujian ini juga untuk mengukur paras gula dalam darah.
  • Walau bagaimanapun, tidak perlu berpuasa dan dibenarkan untuk makan dan minum sebelum darah diambil.

3. Ujian toleransi oral glukosa (Oral Glucose Tolerance Test – OGTT)

  • Untuk ujian ini anda tidak dibenarkan untuk makan dan minum 8 jam sebelum darah diambil.
  • Darah akan diambil setelah minum air gula.

4. HbA1c (Hemoglobin A1c)

  • Ujian darah bagi purata 3 bulan sebelum.
  • Darah ini juga memerlukan tidak makan dan minum 8 jam sebelum darah diambil.

 

Jadual 1 : Kriteria Diabetes WHO – Intepretasi Ujian Toleransi Glukosa (1999)

Aras glukosa NORMAL Impaired Fasting Glycaemia (IFG) Impaired Glucose Tolerance (IGT) Diabetes Mellitus (DM)
Plasma Vena Puasa 2jam Puasa 2jam Puasa 2jam Puasa 2jam
(mmol/L) <6.1 <7.8 > 6.1 & <7.0 <7.8 <7.0 >7.8 >7.0 >11.1

 

Bagaimanakah anda dapat mengawal aras gula dalam darah?

Aras gula dalam darah boleh dikawal melalui :

1. Mengambil makanan pada masa yang tetap.

  • Penghidap diabetes digalakkan mengambil makanan secara sederhana mengikut kuantiti yang dibenarkan.
  • Penghidap diabetes digalakkan untuk mengambil makanan secara sedikit dan kerap mengikut keperluan kerana :
    • Meningkat kadar metabolisma badan.
    • Mengelakkan pengambilan makanan yang berlebihan disebabkan terlalu lapar.
    • Membantu mengekalkan tenaga yang tinggi.
  • Contoh masa makan seperti di Jadual 2.

2. Mengawal makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

  • Pengambilan karbohidrat kompleks perlulah dikawal kerana pengambilan yang berlebihan boleh meningkatkan aras gula dalam darah.
  • Contoh jumlah hidangan karbohidrat seperti di Jadual 2.

3. Pilih makanan yang mengandungi Indeks Glisemik (GI) yang rendah.

  • GI adalah aturan makanan mengikut kesan kenaikan gula dalam darah.
    • GI yang rendah : makanan yang diserap dengan perlahan dalam darah.
    • GI yang tinggi : makanan yang cepat diserap dalam darah.
  • GI yang rendah dalam makanan dapat membantu menyerap makanan berkarbohidrat dengan perlahan dan mengeluarkan gula dalam darah dengan perlahan. Seterusnya, dapat mengawal kenaikan gula dalam darah.
  • Kebaikan GI yang rendah kepada penghidap diabetes :
    • Mengurangkan risiko penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung.
    • Membantu mengawal berat badan.
    • Membantu mengawal selera makan kerana anda akan rasa kenyang yang berpanjangan.
    • Membantu membaiki aras kolestrol baik (HDL).

4. Mengawasi pengambilan karbohidrat ringkas seperti makanan dan minuman yang manis.

  • Awas kepada makanan yang mengandungi gula seperti gula putih, gula perang, jem, coklat, aiskrim kerana ia terdiri daripada karbohidrat ringkas.
  • Pengambilan karbohidrat ringkas yang tinggi boleh menyebabkan kenaikan gula darah secara mendadak dan menyumbangkan kepada pertambahan kalori dan menyebabkan kenaikan berat badan.
  • Pemanis tiruan seperti aspartam (Equal), sucralose, acesulfhame dan stevia adalah dibenarkan untuk menggantikan gula dalam makanan atau minuman.
  • Walau bagaimanapun, penggunaan pemanis tiruan perlu diambil dengan selamat iaitu sebanyak 1 biji dalam 1 cawan dan dibenarkan hanya untuk 2 kali sehari untuk elak kesan sampingan lain.

5. Mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi.

  • Makanan tinggi serat adalah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, legum (kacang soya, kacang pea) dan bijirin gandum penuh.
  • Saranan pengambilan adalah 20-30 gram (5-7 hidangan/ hari) iaitu 6 gram adalah serat larut.
  • Saranan : 3 hidangan sayur-sayuran + 2 hidangan buah-buahan + 1 hidangan bijirin penuh.
  • Ambil secara berperingkat untuk mengelakkan ketidakselesaan perut.
  • Contoh makanan yang mengandungi serat larut adalah oat bran (1/2 cawan = 6 gram serat larut).
  • Kebaikan makanan berserat kepada penghidap diabetes :
    1. Merangsang sistem pencernaan
    2. Mengelakkan sembelit
    3. Mudah rasa kenyang
    4. Mengawal pengambilan kalori yang berlebihan
    5. Mengawal aras gula dan kolestrol badan.

6. Mengurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi.

  • Pilih ikan dan produk kekacang sebagai hidangan protein utama kerana mengandungi lemak yang rendah.
  • Pilih ayam tanpa kulit dan lemak, dan daging tanpa lemak.
  • Pilih susu dan hasil tenusu rendah lemak (susu rendah lemak, susu skim, yogurt, keju rendah lemak).
  • Masak dengan cara merebus, panggang, renih, kukus atau bakar.
  • Berhati-hati dengan lemak yang tersembunyi seperti roti canai, mi goreng, pastri dan coklat.

Jadual 2 : Panduan masa dan kuantiti hidangan bagi Diabetes Mellitus

PANDUAN MENU DIABETES MELLITUS

Waktu makan Jenis Makanan Kuantiti
 

Sarapan pagi

(6.00 – 8.00 pagi)

 

Roti putih / mil penuh, atau

Nestum / oat, atau

Nasi / Mee / Bihun, atau

Tosei / Capati, atau

Biskut tawar

2 keping

1 cawan

1 cawan

1 keping

4-6 keping

Susu rendah lemak, atau

Teh / kopi `O’ tanpa gula

1 cawan

1 cawan

 

Minum pagi

(10.00 pagi)

(Pilihan untuk ambil)

Roti putih / gandum penuh, atau

Biskut tawar

1 keping

3 keping

Susu rendah lemak, atau

Teh / kopi `O’ tanpa gula

1 cawan

1 cawan

 

Makan tengah hari

(12.00 – 2.00 petang)

KARBOHIDRAT

Nasi / Mee / Bihun, atau

Roti putih / gandum penuh, atau

Bubur nasi kosong

 

1- 1 ½ cawan

2-3 keping

2 cawan

PROTEIN

Ikan, atau

Ayam, atau

Daging

 

1 ekor sederhana

1 ketul

3 keping kotak mancis

SAYUR-SAYURAN

Sayur-sayuran berdaun (masak)

 

½ cawan

  BUAH-BUAHAN

Epal hijau / epal merah / lai / oren saiz sederhana

Tembikai / betik / nenas / jambu batu

Mangga / belimbing besi

Rambutan**

Durian / cempedak / nangka**

Nangka**

Anggur / mata kucing / langsat**

 

1 biji sederhana

1 potong

½ biji

3-4 biji

1-2 ulas

2 ulas

4-5 biji

Minum petang

(3.00 – 4.00 petang)

Sama seperti minum pagi
Makan malam

(6.00 petang – 8.00 malam)

Sama seperti makan tengah hari
Minum malam

(10.00 malam)

Sama seperti minum pagi

** Kawal pengambilan buah-buahan tempatan kerana dapat meningkatkan gula dalam darah dengan cepat.

Kesimpulan

Kawalan gula dalam darah bagi penghidap diabetes adalah penting. Pengambilan makanan mengikut masa makan yang tetap, jumlah karbohidrat yang sederhana, pilih makanan yang mengandungi GI yang rendah, awasi pengambilan karbohidrat ringkas, tambah pengambilan serat dan mengurangkan pengambilan lemak dalam makanan dapat mengawal paras gula dalam darah penghidap diabetes.

 

 

Rujukan

  1. Barbara A. G. (2009) Diabetes. Patient education. Volume 5. No 2.
  2. Ministy of Health Malaysia & Malaysians’s Dietetic Association (2009) Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus. 4th Edition.
  3. The Glycaemic Index. Archived: September 20, 2012, from Wiki: http://en.wikipedia.org/wiki/Glycemic_index
  4. WHO Diabetes criteria – Interpretation of Oral Glucose Tolerance Test (1999) Glucose Tolerance Test (Jadual 1) : Archived: September 20, 2012, from Wiki: http://en.wikipedia.org/wiki/Glucose_tolerance_test

 

KUIZ

1. Apakah ujian yang penting untuk diketahui oleh penghidap diabetes mellitus?

  1. Gula darah berpuasa (Fasting Blood Sugar-FBS)
  2. Gula darah tidak berpuasa (Random Bood Sugar-RBS)
  3. Ujian toleransi oral glukosa (Oral Glucose Tolerance Test- OGTT)
  4. HbA1c (Hemoglobin A1c)

A. I & III

B. II & IV

C. I, II & III

D. I, II, III & IV

 

2. Bagaimanakah cara untuk mengawal aras gula dalam darah anda?

  1. Mengambil makanan pada masa yang tetap
  2. Mengurangkan makanan yang mengandungi lemak yang rendah
  3. Mengawal makanan yang mengandungi karbohirat kompleks
  4. Mengambil makanan yang tidak mengandungi serat yang tinggi
  5. Pilih makanan yang mengandungi Indeks Glisemik (GI) yang rendah
  6. Mengawal pengambilan karbohidrat ringkas seperti makanan dan minuman yang manis

A. I, III & V

B. II, IV & VI

C. I, III, V & VI

D. III, IV, V & VI

 

3. Apakah kebaikan serat kepada penghidap diabetes mellitus?

  1. Merangsang sistem pencernaan
  2. Mendapat sembelit
  3. Mudah rasa kenyang
  4. Membantu pengambilan kalori yang berlebihan
  5. Mengawal aras gula dan kolestrol badan

A. II & III

B. I, III & V

C. III, IV & V

D. I, III & IV

 

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …