Jumaat , Mei 3 2024
msen
Utama > Diabetes > Berpuasa bagi ‘non-muslim’ dan Kawalan Diabetes

Berpuasa bagi ‘non-muslim’ dan Kawalan Diabetes

Berpuasa bagi ‘non-muslim’ dan Kawalan Diabetes

Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan mempunyai pelbagai budaya. Rakyat Malaysia juga mempunyai kefahaman agama yang berbeza. Selain agama Islam yang mengamalkan puasa, agama lain juga turut mempunyai cara yang tersendiri dalam amalan berpuasa.

Berpuasa bagi sesetengah agama adalah bermaksud penghadan sesuatu makanan. Contohnya seperti tidak makan makanan daripada sumber haiwan atau tidak makan pada masa yang tertentu sahaja. Berpuasa juga adalah merupakan semangat keagamaan seperti Agama Islam, Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan lain-lain. Setiap satunya ada peranan dalam kawalan penyakit diabetes dan komplikasinya.

Bagaimanakah cara mereka berpuasa?

  • Agama Kristian (Ortodoks)
  1. i)     Penganut agama ini berpuasa 180 hingga 200 hari setahun.
  • Mereka mengamalkan diet Vegetarian iaitu tidak makan daging, ikan, ayam, susu dan produk tenusu (susu, yogurt, keju) dan telur pada hari Rabu dan Jumaat sepanjang tahun.
  • Mereka mengelakkan makanan seperti minyak zaitun.
  1. ii)       Pada 40 hari sebelum Hari Krismas (‘Nativity Fast’)
  • Mereka tidak dibenarkan makan makanan yang terdiri daripada daging, produk tenusu dan telur.
  • Ikan dan minyak zaitun adalah dibenarkan kecuali hari Rabu dan Jumaat.

iii)       Pada Hari ‘Lent’ (48 hari Hari Ahad hujung minggu).

  • Makanan seperti ikan adalah dibenarkan hanya untuk 2 hari.
  • Daging, produk tenusu dan telur adalah tidak dibenarkan.
  • Minyak zaitun dibenarkan hanya pada hujung minggu sahaja.
  1. iv)     15 hari pada bulan Ogos (‘Assumption’)
  • Jenis makanan adalah sama seperti Hari ‘Lent’ kecuali ikan dibenarkan makan pada 6hb Ogos.

Makanan laut seperti udang, sotong, kerang-kerangan, sotong kurita, udang galah (lobster), ketam dan siput adalah dibenarkan ketika berpuasa sepanjang tahun. Oleh itu, amalan berpuasa boleh diljalankan bagi agama ini.

Ketika berpuasa agama Kristian ortodoks mengamalkan diet vegetarian dan diet Mediterranean seperti makan sayur-sayuran, legum (soya, kacang pea), kekacang (kacang hazel, badam, buah-buahan, buah zaitun, roti, siput dan makanan laut.

 

Kesan berpuasa begini boleh menyebabkan paras kolesterol iaitu Kolesterol LDL (lemak tidak baik) dan Indeks Jisim Tubuh adalah menurun. Manakala, ukur lilit pinggang kepada pinggul (waist-hip ratio) menurun dengan penurunan kolesterol dalam darah.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka kembali kepada diet asal ketika tidak berpuasa, paras kolesterol dalam darah dan kolesterol LDL kembali meningkat antara 6 peratus hingga 9 peratus. Oleh itu, pengamal Kristian ortodoks adalah digalakkan untuk berpuasa kerana memberikan kesan yang baik kepada aras gula, kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko obesiti.

  • ‘Daniel fast’

Agama ini melarang makanan yang terdiri daripada produk haiwan, karbohidrat ringkas seperti gula, penambah makanan, makanan yang bergula, perasa tambahan, kafein dan alkohol. Biasanya pengamal ajaran ini berpuasa untuk 10 hingga 40 hari (biasanya 21 hari).

Kebaikan berpuasa bagi pengamal ini adalah memberi kesan kepada mengawal tekanan darah, mengawal paras kolesterol dalam darah, meningkatkan sensitiviti insulin, mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan mengawal berat badan.

  • Agama Buddha

Mereka berpuasa ketika ‘new moon day’, ‘full moon day’ perayaan Hari kelahiran Buddha, Hari kematian Buddha dan lain-lain. Mereka mengamalkan diet vegetarian atau vegan iaitu dengan mengelakkan makan daging. Ada pengamal Buddha vegetarian yang ketat seperti tidak makan 5 makanan pedas (bawang besar, bawang putih, bawang merah, ‘leek’ dan ‘chives’), telur, minuman alkohol dan tidak merokok.

Sebelum mereka berpuasa, mereka melatih diri makan roti sahaja 3 hari sebelum berpuasa dan minum air hanya sedikit sahaja untuk sehari. Di akhir puasa, mereka hanya makan bubur sedikit untuk mengembalikan sistem penghadaman kembali seperti biasa. Sekiranya berjaya, mereka akan berpuasa untuk selama 36 hari dan berperingkat kepada 72 hari. Ada yang mengamalkan makan sekali sehari sebelum petang.

Kebaikan berpuasa di kalangan pengamal Buddha adalah dapat membersihkan diri dan menajamkan pemikiran dan seterusnya menguatkan mental. Dengan berpuasa mereka dapat membezakan berapa banyak makanan yang perlu dimakan dan mengelakkan diri daripada tamak ketika makan. Bagi mereka yang sihat dan tidak mempunyai penyakit kronik adalah dibenarkan untuk berpuasa.

  • Agama Yahudi (Judaism)

Dalam agama yahudi amalan berpuasa telah wujud berdasarkan kalendar yahudi. Penganut yahudi berpuasa jika ditimpa musibah. Namun diwajibkan pada hari yang dinamakan Yom Kippur (Hari Penebusan atau Pembersihan Dosa), satu-satunya puasa yang diperintahkan dalam  hukum Taurat (Mosaic Law).

Setelah menfokuskan 10 hari untuk tujuan bertaubat sejak Rosh Hashanah (Tahun Baru mengikut kalendar Yahudi), diikuti dengan berpuasa pada hari Yom Kippur untuk memastikan taubat dan diampunkan dosa-dosa tahun sebelumnya. Ini kerana mengikut kepercayaan mereka pada hari Yom Kippur itulah nasib semua penganut Yahudi ditentukan untuk tahun berikutnya.

Cara penganut Yahudi berpuasa :

  • Minum air dengan banyak

Berpuasa selama sebulan dengan tidak makan tetapi minum air dengan banyak. Elakkan minuman keras dan beralkohol.

  • Daging dan ubi kentang

Perlu minum air dengan banyak sebelum berpuasa. Manakala, makan seperti biasa dan melebihkan makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi seperti ubi kentang dan mi tanpa sumber protein (ikan atau ayam) dan lemak (minyak). Mereka menyatakan ubi kentang boleh membekalkan air yang cukup. Tetapi perlu diingat, sumber karbohidrat yang terlalu tinggi akan meningkatkan kandungan glukosa. Elakkan makanan segera kerana mangandungi garam yang tinggi dan boleh menyebabkan dahaga.

  • Kafein

Ketika berpuasa, kerap berlaku loya dan sakit kepala disebabkan kekurangan air. Oleh itu, sebelum berpuasa elakkan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan minuman kola

  • Agama Hindu

Penganut agama hindu berpuasa dengan tujuan dan kepercayaan bahawa hari tersebut dapat menghilangkan semua dosa seterusnya dapat mengubah nasib hidup mereka dan meningkatkan kekuatan dalaman mereka.

Cara penganut agama Hindu berpuasa :

  • Berpuasa dengan tidak makan dan minum, hanya makan sekali sehari di waktu petang.
  • Bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa tanpa makan dan minum, mereka dibenarkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum susu.

Kebaikan berpuasa di kalangan penganut hindu, dengan berpuasa dapat merehatkan sistem pencernaan dan membakar toksin di dalam usus

Kesimpulan

Dapat dirumuskan bahawa kawalan pemakanan mengikut setiap amalan dan kepercayaan agama telah dilaksanakan untuk memberikan impak kesihatan yang optimum kepada para penganutnya. Secara tidak langsung, ia dapat membantu dalam kawalan penyakit Diabetes Mellitus dan komplikasinya, seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan.

Rujukan

  1. John F. T. & Richard J. B. (2010) The religious fasting on human health. Trepanowski and Bloomer Nurition Journal 9:57
  2. Katerina O. S. et al. (2003) Effects of Greek orthodox Christian church fasting on serum lipids and obesity. BioMed Central Public Health. Achieved: http://www.biomedcentral.com/1471-2458/3/16
  3. The how and why of fasting in Hinduism. Archieved: http://www.ometc.net/2011/08/fasting-in-hinduism.html Date: 8 March 2011

KUIZ

  • Apakah kebaikan berpuasa bagi agama kristian?

Pengamal kritstian ortodoks adalah digalakkan untuk berpuasa kerana memberikan kesan yang baik kepada aras gula, kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko obesiti.

  • Apakah kebaikan berpuasa bagi agama Buddha?

Kebaikan berpuasa di kalangan pengamal Buddha adalah dapat membersihkan diri dan menajamkan pemikiran dan seterusnya menguatkan mental. Dengan berpuasa mereka dapat membezakan berapa banyak makanan yang perlu dimakan dan mengelakkan diri daripada tamak ketika makan.

  • Bagaimanakah cara penganut Hindu berpuasa?

Cara penganut agama hindu berpuasa adalah dengan tidak makan dan minum, hanya makan sekali sehari di waktu petang. Bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa tanpa makan dan minum, mereka dibenarkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum susu.

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …