Khamis , Februari 27 2020
msen
Utama > Asma > Etiologi > Diagnosa Asma Di Kalangan Dewasa (+3) > Bagaimana Diagnosa Asma Di Kalangan Dewasa Dilakukan? – Gejala-Gejala

Bagaimana Diagnosa Asma Di Kalangan Dewasa Dilakukan? – Gejala-Gejala

Apa itu Asma?

Asma adalah penyakit saluran paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas yang berepisod. Gejala atau simptom asma disebabkan oleh radang saluran pernafasan kronik yang berterusan. Oleh itu, saluran pernafasan pesakit asma sangat sensitif kepada pelbagai pencetus. Terdapat pelbagai pencetus serangan asma samaada pencetus dalaman atau pencetus luaran.

Apabila saluran pernafasan mengalami keradangan akibat pelbagai faktor pencetus, saluran pernafasan membengkak dan akan diisi lendir. Otot di dalam saluran pernafasan akan mengecut sehingga menyempitkan saluran pernafasan. Saluran pernafasan yang sempit menyukarkan udara dihembuskan nafas keluar daripada paru-paru dan menyebabkan berlakunya pelbagai gejala atau simptom asma. Asma boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berisiko tidak kira peringkat umur.

Bagaimana diagnosa asma di kalangan dewasa dilakukan?

Doktor boleh mendiagnosis asma di kalangan dewasa berdasarkan

  • Sejarah perawatan dan kehadiran gejala atau simptom asma
  • Pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda asma. Walau bagaimanapun semasa serangan tidak berlaku, terdapat apa-apa tanda.
  • Sesetengah pesakit mungkin didapati ada kesan-kesan ekzema
  • Pengukuran fungsi dalam paru-paru dengan menggunakan alat tertentu seperti aliran ekspiratori puncak ‘peak expiratory flow meter’ dan

Apakah gejala-gejala asma?

Ada pelbagai gejala asma. Gejala ini terdiri dari sebarang tanda kepada tahap yang teruk. Gejala berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Sesetengah pesakit mungkin kerap mendapat serangan asma, sesetengah pesakit pula mempunyai gejala-gejala asma hanya pada masa-masa tertentu (seperti pada waktu malam atau semasa bersenam) manakala terdapat juga pesakit yang mempunyai gejala-gejala asma sepanjang masa.

Gejala-gejala/Simptom-simptom asma adalah:

  • Batuk – kerap dan lebih teruk pada waktu malam atau awal pagi, menyebabkan pesakit sukar tidur atau terjaga dari tidur kerana nafas berbunyi, batuk dan/atau sesak nafas.
  • Nafas berbunyi – bunyi bersiul nyaring ketika menghembus nafas (paru-paru normal tidak semestinya tiada asma).
  • Sesak nafas – rasa sesuatu yang mencengkam atau menekan dada pesakit.
  • Sukar bernafas – sukar menarik nafas, tidak cukup nafas.
  • Serangan batuk atau nafas berbunyi beserta dengan jangkitan pernafasan.

Kadang-kadang, gejala asma adalah ringan dan hilang dengan sendiri atau setelah mengambil ubat asma. Ada kalanya pula, gejala asma boleh terus menjadi buruk dan lebih kerap dan pesakit mungkin mendapat serangan asma.

Mengapa perlu segera mengenalpasti gejala asma?

Asma tidak boleh sembuh, tetapi gejalanya boleh dikawal dengan rawatan yang sesuai. Peluang mengawal asma adalah lebih tinggi jika asma didiagnosa dan dirawat di peringkat awal. Rawatan yang betul dapat mengurangkan serangan asma dan mengurangkan tahap keterukan. Tanpa rawatan yang sesuai, serangan asma adalah lebih kerap dan lebih teruk.

Kawalan asma sering berubah dari masa ke semasa. Oleh itu, pesakit perlu bekerjasama dengan doktor untuk mengesan gejala, memulakan rawatan dan mengubahsuai rawatan mengikut keperluan semasa.

Apakah situasi yang boleh mencetuskan gejala asma?

Gejala asma boleh tercetus dalam keadaan tertentu seperti berikut:

  • Alahan yang mencetuskan asma – dicetuskan oleh alergen tertentu, seperti bulu haiwan peliharaan, lipas atau debunga.
  • Senaman yang mencetuskan asma – menjadi lebih teruk apabila bersenam.
  • Terdedah kepada udara sejuk atau kering.
  • Asma Pekerjaan – dicetuskan oleh perengsa di tempat kerja seperti wasap kimia, gas atau debu.

Gejala-gejala yang menunjukkan asma semakin teruk

Asma perlu dikesan dan dirawat awal untuk mengelakkan serangan asma dan agar tidak menjadi semakin teruk. Kegagalan mengesan tanda dan gejala awal asma yang lebih teruk boleh menyebabkan asma lewat dirawat dan meningkatkan risiko dimasukkan ke hospital atau serangan asma yang boleh mengancam nyawa.

Berikut adalah gejala-gejala yang menunjukkan asma menjadi semakin teruk:

  • Gejala asma lebih kerap dan mengganggu pada waktu siang.
  • Gejala asma lebih kerap dan semakin mengganggu pada waktu malam.
  • Semakin sukar bernafas (boleh diukur dengan aliran ekspiratori puncak- alat yang digunakan untuk menguji fungsi paru-paru).
  • Semakin kerap menggunakan ubat sedut pelega.

Gejala-gejala yang menunjukkan rawatan kecemasan diperlukan

Serangan asma yang teruk boleh mengancam nyawa. Gejala-gejala kecemasan asma adalah:

  • Sesak nafas semakin teruk atau berdehit.
  • Gejala tidak pulih walaupun selepas menggunakan ubat sedut pelega.
  • Sesak nafas walaupun pesakit melakukan aktiviti fizikal yang minima.

Kesan / komplikasi jika asma tidak didiagnosa atau dirawat

Bagi sesetengah pesakit, asma adalah masalah kecil kerana gejala yang dialami adalah ringan, hanya berlaku apabila terdedah kepada pencetus dan boleh dipulihkan semula. Walau bagaimanapun, asma menjadi masalah besar apabila:

  • Gejala asma mengganggu kerja, tidur atau aktiviti riadah.
  • Pesakit asma terpaksa mengambil cuti sakit, tidak dapat pergi bekerja atau ke sekolah jika mendapat serangan asma.
  • Kerap ke Jabatan Kecemasan atau klinik berhampiran dan dimasukkan ke hospital kerana serangan asma yang teruk.
  • Kesan sampingan penggunaan ubat yang berpanjangan untuk merawat asma yang teruk (contohnya ubat steroid yang diambil secara oral).
  • Menyebabkan serangan asma yang membahayakan nyawa.
  • Menyebabkan kematian.

Rawatan yang betul boleh mengurangkan gejala asma. Walaupun gejala masih ada, pesakit masih boleh menjalani kehidupan normal, hidup aktif dan tidur malam tanpa sebarang gangguan. Harus di ingatkan semasa asma terkawal serta tiada serangan asma, pesakit boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Kesimpulan

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang boleh menyebabkan tanda-tanda dan gejala-gejala yang berulang yang boleh mengganggu aktiviti harian. Jika tidak dikawal boleh membawa maut. Pengesanan awal tanda-tanda asma dengan rawatan yang betul boleh menghalang kesan komplikasi asma jangka pendek dan jangka panjang.

Rujukan

  1. Asthma and Allergy Foundation of America. Asthma overview – diagnosis. http://www.aafa.org/display.cfm?id=8&cont=7. Accessed May 6, 2013.
  1. Global Strategy for Asthma Management and Prevention: Global Initiative for Asthma (GINA) (Updated 2012)
  1. McPhee SJ, et al. Current Medical Diagnosis & Treatment 2012. 51st ed. New York, N.Y.: The McGraw-Hill Companies; 2012. http://www.accessmedicine.com/content.aspx?aID=2740. Accessed May 6, 2013.
  1. Ministry Of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines For Management Of Adult Asthma 2002.
  2. National Heart, Lung, and Blood Institute. What is asthma? http://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/asthma/ Accessed May 6, 2013.
  1. Parker MJ. Asthma. Otolaryngologic Clinics of North America. 2011;44:667.
  2. Ronald B. George, Richard W. Light, Richard A. Matthay, Michael A. Matthay. Asthma. In Chest Medicine: Essentials Of Pulmonary And Critical Care Medicine May 2005, 5th edition.