Khamis , April 25 2024
msen
Utama > Diabetes > Kenali Ubat Untuk Rawatan Diabetes Mellitus

Kenali Ubat Untuk Rawatan Diabetes Mellitus

Kenapa Saya Perlu Ambil Ubat?

Anda perlu mengambil ubat seperti yang diarahkan supaya paras gula anda dapat dikawal. Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang perlu dirawat bagi menghindari sebarang komplikasi terutama jika paras gula berada pada tahap yang tinggi untuk tempoh yang panjang.

Komplikasi diabetes seperti di bawah boleh dicegah atau dilewatkan sekiranya anda mampu mengawal paras gula dengan baik :

  • kegagalan buah pinggang
  • kebutaan
  • serangan jantung
  • strok (angin ahmar)
  • amputasi.

Apa yang harus saya lakukan sebelum memulakan rawatan?

Anda harus mendapatkan nasihat daripada doktor atau profesional kesihatan lain sebelum memulakan sebarang rawatan.

Beberapa ujian perlu dijalankan bagi menentukan status penyakit anda sebelum sebarang ubat-ubatan dimulakan. Memulakan rawatan seawal mungkin adalah langkah yang terbaik untuk mengelakkan berlakunya komplikasi.

Apa yang saya perlu lakukan apabila doktor memulakan rawatan?

Anda harus patuh kepada arahan yang telah diberikan oleh doktor supaya paras gula dalam darah dapat dikawal. Namun, terdapat beberapa maklumat yang perlu anda ketahui sebelum memulakan rawatan, iaitu :

  1. Nama ubat
  2. Cara tindakan ubat
  3. Dos yang dipreskrib
  4. Kekerapan pengambilan ubat
  5. Cara pengambilan ubat – sebelum atau selepas makan
  6. Waktu pengambilan ubat – pagi / tengahari / petang / malam
  7. Kesan sampingan yang mungkin dialami
  8. Interaksi bersama ubatan lain yang diambil
  9. Kontraindikasi
  10. Makanan / aktiviti yang perlu dielakkan jika mengambil ubat tersebut.
ubat dalam container

 

Ubat diabetes

Ubat untuk rawatan Diabetes Mellitus bertindak untuk menurunkan paras gula dalam darah kepada paras normal. Ia boleh dicapai jika ubat-ubatan diambil dengan kaedah yang betul.

Ubat diabetes boleh dibahagikan kepada :

  1. Ubat oral
  2. Suntikan insulin.

Setiap kelas ubat oral bertindak secara berbeza antara satu sama lain.

Jika dos yang diambil kurang daripada dos yang dipreskrib, maka anda akan mengalami paras gula terlalu tinggi (hiperglisemia).

Manakala jika dos diambil secara berlebihan, anda akan mengalami paras gula terlalu rendah (hipoglisemia).

Kedua-dua keadaan ini adalah sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan segera.

Rawatan yang diberi kepada setiap pesakit adalah berlainan mengikut keperluan penyakit. Jadi, anda mungkin memerlukan lebih daripada satu jenis ubat oral untuk mengawal paras gula dalam darah anda.

Berikut adalah kelas ubat oral yang digunakan untuk rawatan Diabetes Mellitus :

  1. Biguanides
  2. Sulfonilurea
  3. Perencat Alfa-Glukosidase
  4. Thiazolidinediones
  5. Meglitinides
  6. Perencat Dipeptidyl Peptidase-4(DPP-4).

Link : Ubat-Ubatan Oral Untuk Rawatan Diabetes Mellitus Jenis Ke-2.

 

Apa yang harus saya lakukan sepanjang tempoh rawatan?

1)  Anda haruslah kerap berjumpa doktor dan menghadiri temujanji yang ditetapkan.

2)  Anda perlu menjalani pemeriksaan dan ujian secara berkala bagi memastikan ubat yang diambil memberikan kesan yang diingini.

  • Keputusan ujian akan membantu doktor merancang pelan pengubatan yang sesuai untuk anda.
  • Contohnya, jika paras gula masih tidak terkawal, dos ubat boleh ditingkatkan atau ubat baru akan diperkenalkan kepada anda.
3)  Anda juga boleh memainkan peranan penting dengan memeriksa paras gula dalam darah di rumah dengan menggunakan alat yang sesuai.

  • Alat yang dipanggil glukometer ini boleh didapati di kedai-kedai farmasi.
  • Rekodkan paras gula ke dalam buku catatan dan bawa buku catatan tersebut apabila berjumpa doktor.
Glucometer (checking blood glucose)

4)  Maklumkan kepada doktor atau Pegawai Farmasi anda sekiranya anda sedang mengandung atau menyusu.

 

Apa yang harus saya lakukan jika menghadapi masalah berkaitan ubat-ubatan?

Anda harus segera berjumpa doktor atau Pegawai Farmasi agar masalah tidak berpanjangan dan memudaratkan.

Jika anda mengalami kesan sampingan atau tidak sesuai dengan mana-mana ubat yang diberikan, doktor akan melakukan perubahan terhadap regimen pengubatan anda supaya masalah anda dapat diatasi.

 

Rujukan

  1. Micromedex Drug Information  (Database : Version number 1.37.0b1235)
  2. Drug Information Handbook, 17th edition (2008-2009).

 

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …