Rabu , April 17 2024
msen
Utama > Diabetes > Tugas dan Fungsi Doktor Mata (Oftalmologis) dalam Penjagaan Penyakit Diabetes

Tugas dan Fungsi Doktor Mata (Oftalmologis) dalam Penjagaan Penyakit Diabetes

Oftalmologis (Pakar Mata) memainkan peranan yang penting dalam pencegahan komplikasi yang teruk yang disebabkan oleh diabetes mellitus. Pemeriksaan kadar gula, pemeriksaan tekanan darah yang berkala dan memberi informasi kesihatan kepada pesakit mengenai cara hidup sihat, akan membantu kepada pengenalan awal komplikasi penyakit, juga dapat memberi perawatan yang lebih awal dan baik serta mengurangkan komplikasi yang teruk seperti kebutaan.

Diabetes boleh menyebabkan komplikasi kepada pelbagai organ termasuk kerosakan saluran darah besar dan kecil, yang mana boleh membawa kepada serangan jantung, angin ahmar (strok) dan masalah-masalah dengan buah pinggang, mata, gigi, kaki dan saraf. Walau bagaimanapun, risiko untuk kebanyakan komplikasi diabetes boleh dikurangkan.

Komplikasi penyakit diabetes boleh melibatkan pelbagai organ

Gambar 1: Komplikasi penyakit diabetes boleh melibatkan pelbagai organ.

Penyakit-penyakit mata yang disebabkan oleh diabetes melitus seperti diabetic retinopathy berhubung rapat dengan jumlah masa seseorang itu mempunyai penyakit diabetes. Lebih lama sesorang pesakit mengalami diabetes, maka lebih tinggi risiko untuknya mempunyai diabetic retinopathy. Sebagai contoh, pesakit yang telah mempunyai penyakit diabetes selama 20 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mempunyai diabetic retinopathy jika dibandingkan dengan pesakit yang baru 5 tahun mempunyai diabetes.

Komplikasi-komplikasi pada mata yang disebabkan oleh diabetes juga boleh dikurangkan dengan sentiasa mengawal paras gula dalam darah. Sebagai contoh, setiap satu peratus (1%) pengurangan dalam aras HbA1c, ia boleh menghalang risiko diabetic retinopathy daripada menjadi lebih teruk sehinga 40 peratus (40%).

Kaedah yang paling berkesan untuk merawat diabetic retinopathy adalah dari peringkat pencegahan lagi. Walau bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan tidak bergantung pada doktor mata sahaja. Ia merangkumi doktor-doktor lain yang merawat pesakit dan yang paling penting adalah daripada pesakit itu sendiri.

Kerosakan pada mata yang disebabkan diabetes – bagaimana mengurangkan risikonya?

Malangnya, bagi pesakit yang menghidap diabetic retinopathy, kerosakan pada salur-salur darah dan retina di dalam mata boleh berlaku tanpa mereka sedari. Tambahan lagi, penglihatan mata mereka juga mungkin masih berada dalam keadaan normal sehingga retinopathy mencapai tahap yang kritikal. Walau bagaimanapun, komplikasi-komplikasi ini boleh dielakkan sekiranya pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata pada peringkat awal dan mengikut arahan doktor mata.

Komplikasi-komplikasi mata pesakit diabetes

Gambar 2: Komplikasi-komplikasi mata pesakit diabetes

Bagaimana mengurangkan risiko kerosakan mata?

  • Selalu mematuhi jadual pemeriksaan mata – pesakit diabetes dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan mata dengan menyeluruh oleh doktor mata dan juga optometris sekurang-kurangnya sekali setahun sejak mereka diberitahu tentang penyakit mereka. Pemeriksaan berkala ini juga bergantung pada tahap retinopathy di mana pemeriksaan mata akan menjadi lebih kerap sekiranya komplikasi-komplikasi retinopati sudah mula berlaku supaya mereka dapat diberi pemerhatian dan rawatan yang sepatutnya.
  • Sentiasa menjaga kesihatan diri – pastikan paras gula dalam darah, HbA1c and tekanan darah tinggi sentiasa berada pada tahap baik dan terkawal. Ini bukan hanya dapat menghalang kerosakan pada mata tetapi juga organ-organ atau penyakit-peyakit lain seperti lemah jantung, serangan strok dan juga sakit buah pingggang.
  • Mendapatkan rawatan dengan segera – segeralah berjumpa doktor mata sekiranya anda mengalami masalah mata seperti pandangan kabur secara tiba-tiba. Kerabunan secara tiba-tiba boleh disebabkan oleh tanda-tanda awal untuk serangan yang lebih teruk seperti sakit jantung dan juga serangan strok. Oleh itu, rawatan untuk pencegahan dapat diberikan dengan lebih awal bukan hanya untuk mengelakkan kerosakan kekal pada mata tetapi juga menghalang komplikasi-komplikasi lain yang boleh menyebabkan kematian.

Rujukan:

Gambar 1: healthkp.com

Gambar 2: fastbleep.com

Kuiz

  1. Apakah komplikasi yang disebabkan oleh penyakit diabetes yang tidak

dirawat?

  1. Diabetic retinopathy
  2. Kerosakan pada organ hati
  3. Kegemukan

Jawapan: A

  1. Antara berikut, yang manakah bukan risiko yang tidak menyebabkan penyakit diabetic retinopahy?
  1. Paras gula dalam darah yang tinggi dan tidak terkawal
  2. Jangka masa menghidap penyakit diabetes
  3. Tekanan darah tinggi yang normal

Jawapan: C

  1. Pilih pernyataan yang benar
  1. Kaedah yang paling berkesan untuk menghalang penyakit diabetic retinopathy adalah dengan sentiasa mempunyai kawalan baik pada paras gula dalam darah
  1. Pesakit yang baru menghidap penyakit diabetes jenis 2 hendaklah mula menjalani pemeriksaan mata selepas 5 tahun
  1. Komplikasi yang disebabkan oleh penyakit diabetes hanyalah pada mata sahaja

Jawapan: A

 

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …