Khamis , April 25 2024
msen
Utama > Diabetes > Glucagon-like Peptide-1 (GLP-1)

Glucagon-like Peptide-1 (GLP-1)

 

Glucagon-like peptide-1 (GLP-1) ialah sejenis hormon yang dirembeskan oleh usus. Rembesan GLP-1 bergantung kepada kandungan nutrien di dalam usus kecil.

Insulin ialah sejenis hormon yang mengawal kandungan gula dalam darah.

  • Ia dirembeskan oleh sel beta di pankreas.
  • Apabila kandungan gula dalam usus tinggi, GLP-1 merangsangkan perembesan insulin.
  • Insulin membolehkan gula dalam darah diambil oleh otot, hati dan tisu-tisu lemak agar kandungan gula dalam darah tidak tinggi.
  • Gula disimpan sebagai glikogen di dalam otot, hati dan tisu-tisu lemak.

GLUCAGON-LIKE PEPTIDE-1 (GLP-1)3

GLP-1 juga merencat perembesan glukagon dari sel alfa di pankreas. Glukagon ialah sejenis hormon yang merangsang pelepasan gula dari hati apabila kandungan gula darah adalah rendah. Dengan kehadiran GLP-1, rembesan glukagon direncat dan kandungan gula dalam darah dikurangkan.

GLUCAGON-LIKE PEPTIDE-1 (GLP-1)4

Oleh kerana perembesan GLP-1 bergantung kepada kandungan gula, apabila kandungan gula darah adalah normal, GLP-1 tidak akan dirembeskan. Oleh itu, masalah kandungan gula rendah (hipoglisemia) boleh dielakkan.

GLP-1 boleh membantu untuk memelihara fungsi sel beta dan meningkatkan kandungan insulin dalam badan. Ia merencat kematian sel beta dan membantu meningkatkan sel beta di dalam badan. Selain itu, GLP-1 juga merencatkan pengosongan gastrik (gastric emptying) lalu ia melambatkan penyerapan karbohidrat dalam usus.

Oleh kerana makanan berada di dalam usus untuk masa yang lama, ia memberikan rasa kenyang dan dengan itu, pengambilan makanan dapat dikurangkan. Apabila pengambilan makanan dikurangkan, berat badan juga dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun, GLP-1 hanya aktif dalam badan kurang daripada 2 minit kerana ia direncatkan dengan cepat oleh enzim dipeptidyl peptidase-IV (DPP-IV).

Bagi pesakit diabetes, GLP-1 yang dirembeskan oleh usus dikurangkan dan dengan itu menyebabkan rembesan insulin terjejas dan pelepasan glukagon juga tidak dihalang. Ekoran itu, kandungan gula dalam darah adalah tinggi dalam pesakit diabetes.

Memandangkan GLP-1 mempunyai pelbagai kelebihan, ia berpotensi sebagai rawatan diabetes. Untuk meningkatkan kandungan GLP-1 dalam badan, kita boleh menambah dengan GLP-1 luaran atau menghalang proses penyahaktifan hormon ini.

Exenatide (Byetta©) ialah GLP-1 sintetik yang pertama kali dikenalkan dalam pasaran untuk rawatan diabetes jenis 2. Ia berasal daripada hormon dalam air liur cicak yang dipanggil raksasa Gila.

  • Ia diberikan secara suntikan di bawah lapisan kulit yang berlemak (subkut) seperti di perut, paha dan lengan kerana ia mudah direncatkan oleh asid dalam gastrik jika diberikan melalui mulut.
  • Dos permulaan adalah 5mcg untuk disuntik dua kali sehari, dalam masa 60 minit sebelum pengambilan makanan pertama dan makanan terakhir. Selang masa selama 6 jam atau lebih diperlukan antara dua suntikan tersebut.
  • Selepas sebulan, doktor mungkin meningkatkan dos kepada 10 mcg untuk disuntik dua kali sehari.
  • Ia perlu disimpan dalam peti sejuk.
  • Perbezaan antara Exenatide dan GLP-1 adalah ia tidak direncatkan oleh enzim DPP-IV. Oleh itu, exenatide berada di dalam badan lebih lama daripada GLP-1.

Selain exenatide, terdapat GLP-1 sintetik yang digelar liraglutide dengan jenama Victoza© dalam pasaran. Ia juga diberikan secara suntikan subkut tetapi hanya satu suntikan sehari.

  • Dos permulaan adalah 0.6mg sehari selama seminggu. Dos permulaan yang rendah ini adalah supaya berkesan dan boleh mengurangkan kesan sampingan seperti loya dan muntah.
  • Selepas seminggu, doktor mungkin meningkatkan dos kepada 1.2mg sehari.
  • Jika kawalan gula masih tidak betul atau tidak memuaskan, doktor mungkin akan meningkatkan lagi dos kepada 1.8mg sehari.
  • Ia boleh disuntik pada bila-bila masa pada hari tersebut dan sebaik-baiknya pada waktu yang sama tiap-tiap hari.
  • Liraglutide mengandungi molekul asid lemak yang mengikat kepada protein (albumin) di dalam badan lalu membolehkan ia berada dalam badan untuk masa yang lama.
  • Ia boleh disimpan pada suhu bilik dan bertahan selama 28 hari.
Ubat Exenatide Liraglutide
Jenama Byetta® Victoza®
Pengeluar Eli Lilly Novo Nordisk
Penyampaian  Exenatide1 Exenatide2  Liraglutide
Cara pengambilan / administrasi Suntik di bawah lapisan kulit yang berlemak (subkut) Suntik di bawah lapisan kulit yang berlemak (subkut)
Tempat suntikan Perut, paha atau lengan Perut, paha atau lengan
Dos Mula dengan 5mcg disuntik dua kali sehari selama sekurang-kurangnya sebulan, kemudian dos mungkin ditingkatkan kepada 10mcg disuntik dua kali sehari Mula dengan 0.6mg disuntik sekali sehari selama seminggu, kemudian dos mungkin ditingkatkan kepada 1.2mg disuntik sekali sehari dan kemudian kepada 1.8mg sekali sehari.
Masa pengambilan / administrasi Dalam masa 60 minit sebelum pengambilan makanan pertama dan makanan terakhir harian. Bila-bila masa pada hari tersebut dan pada waktu yang sama setiap hari.
Penyimpanan Disimpan dalam peti sejuk Disimpan pada suhu bilik

GLP-1 sintetik ditunjukkan sebagai rawatan tambahan kepada pesakit diabetes jenis 2 yang tidak mencapai kawalan gula yang memuaskan dengan rawatan metformin sahaja atau rawatan gabungan metformin dengan sulfonylurea atau thiazolidinedione. Ia perlu digunakan sebelum memulakan rawatan insulin.

Kelebihan memulakan rawatan ini pada peringkat awal penyakit diabetes adalah kebolehannya mengurangkan gula dalam darah tanpa menyebabkan hipoglisemia dan mengurangkan berat badan, juga berkemungkinan memelihara sel beta.

 

Rujukan

  1. Drucker DJ. Enhancing incretin action for the treatment of type 2 diabetes. Diabetes Care. 2003; 26:2929-2940.
  2. Drucker DJ. Glucagon-like peptide-1 and islet ?-cell: augmentation of cell proliferation and inhibition of apoptosis [review]. Endocrinoogy. 2003;144:5145-5148.
  3. Drucker DJ. Incretin-based therapies: a clinical need filled by unique metabolic effects. Diabetes Educ. 2006;32(suppl 2);65S-71S.
  4. Gutzwiller JP, Drewe J, Goke B, Schmidt H, Rohrer B, Lareida J, et al. Glucagon-like peptide-1 promotes satiety and reduces food intake in patients with diabetes mellitus type 2. Am J Physiol. 1999;276(5 Pt 2):R1541-R1544.
  5. Mentlein R. Dipeptidyl-peptidase IV (CD26)-role in the inactivation of regulatory peptides [review]. Regul Pept. 1999;85:9-24.
  6. Muller WA, Faloona GR, Aquilar-Parada E, Unger RH. Abnormal alpha-cell function in diabetes. Response to carbohydrate and protein ingestion. N Engl J Med. 1970;283:109-115.
  7. Nauck MA, Homberger E, Siegel EG, Allen RC, Eaton RP, Ebert R, et al. Incretin effects of increasing glucose loads in man calculated from venous insulin and C-peptide responses. J Clin Endocrinol Metab. 1986;63:492-498.
  8. Nauck MA, Kleine N, Orskov C, Holst JJ, Willms B, Creutzfeldt W. Normalization of fasting hyperglycaemia by exogenous glucagon-like peptide 1 (7-36 amide) in type 2 (non-insulin-dependent) diabetic patients. Diabetologia 1993. 36:741-744.
  9. Visboll T, Holst JJ. Incretins, insulin secretion and type 2 diabetes mellitus [review]. Diabetologia. 2004;47:357-366.
  10. Byetta package insert Accessed September 6, 2012
  11. http://www.medicinenet.com/exenatide/article.htm, Exenatide, accessed September 5, 2012
  12. http://www.medicinenet.com/liraglutide/article.htm, Liraglutide, accessed September 5, 2012

 

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …