Khamis , April 25 2024
msen
Utama > Diabetes > Pesakit Diabetes Tidak Boleh Mengambil Gula Dan Makanan Manis?

Pesakit Diabetes Tidak Boleh Mengambil Gula Dan Makanan Manis?

Apa Orang Kata Tentang Gula dan Diabetes?

Selama bertahun-tahun, mereka yang mempunyai masalah diabetes telah dilarang untuk mengambil makanan manis yang diperbuat daripada gula ringkas. (Pautan :  Eating Too Much Sugar Causes Diabetes?).

Kini, pemahaman para penyelidik tentang terapi pemakanan diabetes telah mula berubah selari dengan pengetahuan tentang indeks glisemik (GI). (rujuk : Diabetes dan Indeks Glisemik).

  • Indeks glisemik adalah satu ukuran tentang kadar cepat atau lambat metabolisma karbohidrat makanan untuk ditukarkan kepada kepada gula darah dalam tubuh.

Pesakit Diabetes Tidak Boleh Mengambil Gula Dan Makanan Manis1Sumber: Blog Anyzin

Prinsip asas menyatakan bahawa makanan manis akan meningkatkan gula darah dengan cepat berbanding makanan berkanji. Ini memang benar seandainya makanan manis tersebut dimakan secara tunggal.

  • Namun begitu, jika makanan manis tersebut dimakan bersama-sama makanan seimbang tinggi serat, peningkatan gula darah dapat diperlahan.
  • Selain serat, ada juga faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi kadar metabolisma gula, contohnya kaedah penyediaan sajian dan juga kandungan lemaknya.

Adalah benar jika dikatakan jenis karbohidrat yang berbeza akan memberi pengaruh yang berbeza terhadap gula darah.

  • Namun begitu, pakar-pakar memberi pandangan bahawa fokus utama patut diberikan kepada jumlah keseluruhan karbohidrat yang dimakan berbanding jenisnya.
  • Ini kerana, jumlah karbohidrat yang dimakan mempunyai kesan yang lebih ketara kepada perubahan gula darah.

Oleh itu, saranan tentang pengambilan gula untuk mereka yang mempunyai diabetes telah mula berubah. Ia telah bertukar daripada mengelakkan pengambilan makanan bergula kepada membenarkan pengambilannya.

Kaedah yang digunakan adalah melalui tukar ganti ke dalam sajian karbohidrat sedia ada.

  • Melalui kaedah ini, penggunaan gula dalam amaun tertentu adalah dibenarkan dan ia tidak memberi kesan buruk kepada aras gula darah.
  • Walau bagaimanapun, penggunaan gula dalam kuantiti yang berlebihan adalah tidak dibenarkan.

Anda disarankan untuk mengekalkan pelan pemakanan sihat anda di samping meneruskan aktiviti fizikal secukupnya.

 

Gunakan Gula Dengan Bijak!

“Anda boleh mengambil makanan manis!” – merupakan berita gembira bagi mereka yang mengalami diabetes. Namun begitu, ia tidak bererti anda boleh mengambil gula sesuka hati. Kebanyakan makanan manis mengandungi jumlah karbohidrat yang tinggi walaupun saiznya kecil.

Selain itu, kebanyakan hidangan manis juga mengandungi lemak dan tinggi kalori berbanding buah-buahan atau makanan berkarbohidrat yang lain. Oleh itu, kunci utama dalam pengambilan makanan manis adalah pengambilan secara sederhana.

Gula adalah sebahagian daripada karbohidrat walaupun nilai nutriennya sangat sedikit. Jika mereka yang menghidap diabetes membuat banyak tukar ganti makanan tinggi gula dalam sajian harian, mereka akan kekurangan bekalan karbohidrat tinggi nutrien yang diperlukan secukupnya untuk kekal sihat. Sebaliknya, diet seharian mereka akan dimonopoli oleh makanan berkalori kosong iaitu kalori tanpa nutrien penting (nutrien yang terdapat dalam makanan sihat).

Ada antara kita yang amat menggemari makanan manis dan agak bermasalah untuk mengelakkan pengambilannya. Dalam kes ini, anda boleh mengubah suai resipi kegemaran anda melalui sedikit inovasi dan kreativiti.

  • Anda boleh menggantikan semua gula dengan bahan lain yang meningkatkan rasa, atau mengurangkan sebahagian kandungan gula di samping melebihkan kandungan seratnya.
  • Pengambilannya adalah selamat untuk gula darah anda asalkan kandungan karbohidrat dan kalorinya masih dalam julat pelan pemakanan sihat anda.

Pesakit Diabetes Tidak Boleh Mengambil Gula Dan Makanan Manis2Sumber : Jayscatering.com

Semasa berada dalam majlis keraian, anda mungkin ada keinginan untuk merasa sajian manis yang dihidangkan seperti kek dan kuih-muih. Pegawai Dietetik boleh membantu untuk menyesuaikan pengambilan gula dalam pelan pemakanan sihat harian anda. Anda juga mungkin boleh berbincang dengan Pegawai Perubatan anda tentang pengubahsuaian dos suntikan insulin apabila ada pengambilan gula dalam pelan pemakanan anda.

 

Bagaimanakah Pelan Makan Manis Secara Bijak?  

Gula adalah sebahagian daripada karbohidrat dan termasuk dalam kiraan pelan pemakanan mereka yang mengalami diabetes. Walau bagaimanapun, ia mungkin akan menggantikan sebahagian daripada makanan tinggi nutrien anda disebabkan ia bersifat kalori kosong. Oleh itu, pengambilannya secara sederhana adalah disarankan.

Pesakit Diabetes Tidak Boleh Mengambil Gula Dan Makanan Manis3

 

Bagaimana Membuat Tukar Ganti Gula ke Dalam Sajian Anda?

Apabila anda ingin mengambil makanan manis, prinsip asas adalah untuk menukar ganti ia dengan makanan berkarbohidrat lain dalam sajian yang sama.

  • Sebagai contoh, anda ada keinginan untuk makan bubur kacang hijau (tinggi gula dan lemak), anda boleh mengambilnya dalam amaun yang sedikit.
  • Pada masa yang sama, anda perlu meninggalkan sajian buah-buahan yang sepatutnya anda ambil ketika itu.
  • Sebagai maklumat tambahan, oleh kerana makanan manis anda mengandungi tinggi lemak, maka hidangan lauk-pauk anda harus disediakan secara kurang lemak.

Berikut adalah langkah-langkah menukar ganti makanan manis ke dalam sajian :

1. Pertama, kenal pasti kumpulan karbohidrat dalam sajian anda (rujuk : Eating Healthy For Diabetes) .

2. Kemudian, buat keputusan tentang karbohidrat mana yang anda akan pilih untuk ditukar ganti dengan makanan manis yang anda inginkan.

  • Anda boleh merujuk kepada senarai kandungan karbohidrat berikut : Cooked dishes – Malaysian Kuih.
  • Label pemakanan yang ada pada pembungkus makanan juga boleh digunakan sebagai panduan untuk menganggarkan kandungan karbohidrat dalam sajian tersebut.

3. Akhir sekali, tukar gantikan makanan manis anda ke dalam sajian.

  • Anda boleh merujuk kepada senarai pertukaran karbohidrat (rujuk : Diabetic Meal Plan).
  • Ia adalah pertukaran yang seragam dan jumlah karbohidrat sajian anda tidak langsung berubah.

 

Senarai Kuih-Muih Malaysia

Nama Kuih Saiz satu hidangan Tenaga (kCal) Karbohidrat (g) Protein (g) Lemak (g)
Chee Pah 55 g 166 28 4 4
Dodol 30 g 50 10.4 0.4 0.7
Kuih bom 44 g 148 20.2 2.5 6.4
Buah Melaka 15 g 30 6.7 0.5 0.2
Kasui 96 g 155 32.9 2.2 1.6
Koci pulut hitam 50 g 100 20 2.9 1.0
Lapis 100 152 33.1 2.2 1.2
Lompang 50 g 68 15.4 1.3 0.2
Lopes pulut 65 g 132 28.3 1.5 1.4
Seri muka 96 g 187 34.9 3.5 3.7
Tepung pelita 74 g 101 22.6 1.6 0.5
Lor mai fan 190 g 422 77.2 9.7 8.2
Pulut panggang 50 g 111 18.2 2 3.4
Putu piring 55 g 129 25.3 1.6 2.4
Putu bamboo 35 g 91 14.5 1.9 2.8
Tapai pulut 30 g 50 11.4 1.1 0
Kek biasa (plain) 23 g 100 13.2 1.6 4.6
Donut 74 g 264 41.8 7 7.7
Keria 31 g 73 14.8 0.8 1.2
Pau kacang 50 g 139 28 3 2
Apam 40 g 77 18 1 0.2
Apam balik 229 g 562 100.3 13.8 11.5
Ketayap 53 g 115 17 2.2 4.2
Bingka ubi kayu 80 g 178 35 1.4 3.6
Cokodok pisang 30 g 76 13.7 1.2 1.9
Kasturi 45 g 111 17.2 3.1 3.3
Laddu 53 g 234 29.2 3.4 11.6
Lepat pisang 116 g 238 48.4 3.4 3.4
Lepat ubi 79 g 165 38.8 0.8 0.6
Mysore pak 90 g 347 73.8 5.4 3.2

Ehsan : Atlas Makanan – Saiz Pertukaran Dan Porsi 2009

 

 

Rujukan

  1. American Diabetes Association (2010). Clinical Practice Reccomendations. Retrieved October 15, 2012, from http://www.diabetes.org
  2. Malaysians’ Dietitian Association (2005). Medical nutrition therapy guidelines for Type 2 Diabetes.
  3. Mayo Clinic. Diabetes nutrition: Including sweets in your meal plan. Retrieved September 21, 2012, from http://www.mayoclinic.com/
  4. “Nutrition Recommendations and Interventions for Diabetes”. American Diabetes Association. Diabetes Care. 2008;31(suppl 21):S61-S78.
Semakan Akhir : 03 Disember 2013
Penulis : Pn. Hjh. Salha binti Mohamed  Nor
Akreditor : Pn. Viola Michael

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …