Sabtu , April 20 2024
msen
Utama > Hipertensi > Menopaus

Menopaus

Pengenalan

Selepas putus haid, lebih ramai wanita akan menghidap penyakit hipertensi berbanding dengan lelaki. Wanita yang semakin meningkat usianya menjadi lebih cenderung untuk mendapat penyakit tersebut. Kira-kira lapan daripada sepuluh wanita yang berusia 60 tahun menghidap hipertensi. Ini menyebabkan bertambahnya komplikasi hipertensi seperti strok, kegagalan jantung dan kegagalan buah pinggang. Hipertensi selepas putus haid adalah unik. Ramai wanita mengalami hipertensi systolik terpencil, (iaitu, bacaan tekanan darah atas tinggi, tetapi bacaan bawah normal). Walau bagaimanapun, risiko, komplikasi dan rawatannya sama. Satu lagi keunikan tentang hipertensi tersebut adalah ia tidak stabil. Ini bermakna, tekanan darah kadang-kadang tinggi dan kadang-kadang rendah.

1

Gambar 1: Komplikasi Hipertensi Yang Tidak Dirawat

Kenapa Anda Mendapat Hipertensi Selepas Putus Haid?

Sebelum putus haid, risiko untuk seorang wanita mendapat hipertensi adalah kurang daripada seorang lelaki. Ini disebabkan oleh hormon semula jadi dalam badan wanita yang akan melindunginya. Walau bagaimanapun, perlindungan ini akan berhenti apabila wanita tersebut putus haid. Semasa putus haid, banyak perubahan akan berlaku pada seorang wanita. Hormon semula jadi wanita akan berkurangan, dinding saluran darahnya bertambah keras dan kenaikan berat badan. Perubahan sebegini menyebabkan seorang wanita lebih cenderung mendapat penyakit hipertensi.

Faktor lain boleh menambah risiko anda mendapat hipertensi, sebagai contoh;

  • Ahli keluarga kandung anda penghidap penyakit hipertensi.
  • Anda mengambil Terapi Penggantian Hormon (HRT).
  • Anda obes.
  • Anda mengamalkan cara hidup yang tidak aktif.
  • Anda minum arak secara berlebihan.
  • Anda pernah menghidap hipertensi semasa mengandung
  • Anda menghidap penyakit lain yang sedia ada seperti kencing manis, penyakit buah pinggang dan penyakit tisu penghubung.

CaptureGambar 2: Sebab-Sebab Hipertensi Selepas Putus Haid

Kesan Hipertensi Seawal Mungkin

Jangan tunggu sehingga putus haid! Semua wanita perlu membuat pemeriksaan tekanan darah berkala bermula dari umur 30 tahun. Bagi wanita yang mempunyai faktor risiko yang dihuraikan, pemeriksaan patut dimulakan pada umur lebih muda. Adalah elok untuk memilih seorang doktor yang dipercayai dan membuat pemeriksaan susulan dengan doktor yang sama. Pemeriksaan tekanan darah tahunan adalah berharga kerana:

  1. Hipertensi adalah penyakit yang senyap. Anda mungkin tiada gejala walaupun tekanan darah anda tinggi.
  2. Anda akan mempunyai kesedaran tentang tekanan darah anda yang pertama dan pertukarannya setiap tahun.
  3. Doktor anda akan mempunyai rekod tentang bacaan tekanan darah anda yang bertukar.
  4. Pertukaran tekanan darah anda akan memberi amaran kepada anda dan doktor anda. Ada kemungkinan anda menghidap hipertensi.

Rawat Hipertensi Anda Secepat Mungkin

Ingat, hipertensi adalah penyakit yang boleh dirawat. Apabila hipertensi telah dikenal pasti, ia mesti dirawat. Apabila hipertensi dirawat dengan baik, komplikasi yang disebabkan oleh penyakit ini juga akan berkurang. Anda boleh berbincang bersama doktor anda tentang cara rawatan yang terbaik. Anda boleh memastikan bahawa tekanan darah anda dikawal secara optimum dengan petua berikut:

  • Pertukaran cara hidup yang berpatutan.
  • Ubatan yang mencukupi dalam dos yang berpatutan.
  • Rawatan susulan bersama seorang doktor yang dipercayai.
  • Pengawasan tekanan darah sendiri yang berpatutan di rumah.
  1. ‘Tiada Jalan Pintas- Cara Mudah Tetapi Jangka Masa Panjang’

Mulakan pertukaran cara hidup yang mudah dan kekalkannya dengan berdisiplin. Cara hidup yang disyorkan adalah seperti berikut:

  • Memulakan senaman yang teratur seperti berjalan pantas.
  • Mengurangkan garam tambahan dalam makanan anda. Pemakanan DASH (Dietary Approaches to stop Hypertension) adalah disyorkan.
  • Terapi Relaksasi

Capture2Gambar 3: Makanan DASH

2  Gambar 4: Berjalan pantas

3Gambar 5: Doktor Yang Sama Semasa Temujanji

  1. ‘Ubatan Hanya Gangguan Sementara, yang Membunuh ialah Penyakit’

Memulakan ubatan adalah sesuatu keputusan yang susah. Ubatan perlu diambil seumur hidup kerana hipertensi adalah penyakit kronik. Oleh yang demikian, bincanglah dengan doktor anda tentang masa yang berpatutuan untuk memulakan ubatan. Ubatan yang dipilih sepatutnya mengawal tekanan darah anda tanpa kesan sampingan. Ada kemungkinan lebih daripada satu jenis ubat diperlukan untuk mengawal tekanan darah anda dengan baik.

  1. ‘Doktor Anda ialah Kawan Karib Anda’

Pilih seorang doktor atau klinik dan kekalkan temujanji yang berkala dengan doktor/klinik tersebut. Dengan ini, pengawasan kesihatan anda lebih terurus. Anda akan lebih selesa dengan seorang doktor yang anda dan keluarga anda kenali. Setiap keputusan rawatan boleh dibuat selepas perbincangan bersama.

  1. ‘Tekanan Darah di Rumah, Itulah Caranya!’

Anda mungkin tidak boleh bertemu dengan doktor anda dengan kerap disebabkan kesibukan kehidupan seharian. Dengan mengawasi tekanan darah anda di rumah, anda boleh menunjukkan rekod tersebut pada doktor anda. Ini akan menolong doctor anda membuat keputusan tentang perawatan anda. Bincang dengan doctor anda tentang pembelian sebuah set pemeriksaan tekanan darah digital untuk kegunaan anda di rumah.

45

Gambar 6 and 7: ContohSet Tekanan Darah Digital Yang Disyorkan

Rujukan

  1. Gambar 1: http://health.nytimes.com/health/guides/disease/hypertension/complications.html
  2. Gambar 3: http://www.malaysianheart.org/file_dir/17923407034fb9da250be00.pdf
  3. Gambar 4: http://sportfitnhealth.blogspot.com
  4. Gambar 5: http://www.caregivercollege.org/scoa/images/Blood-audio_html_3d42d0ed.jpg
  5. Gambar 6: http://trade.indiamart.com/details.mp?offer=4249151955
  6. Gambar 7: http://www.kowloonsport.com/NewFiles/healthtest.html
  7. Malaysian CPG – Prevention of Cardiovascular disease in Women (1st Edition), 2008
  8. Malaysian CPG – Management Of Hypertension (3rd Edition), 2008
  9. Matthias B, Matthias RM. Postmenopausal Hypertension: Mechanisms and Therapy. Hypertension. 2009;54:11-18
Semakan Akhir : 02 Mac 2016
Penulis : Dr. Sheela Bai a/p Pannir Selvam
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

 

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …