Sabtu , April 20 2024
msen
Utama > Hipertensi > Etiologi > Hipertensi Sekunder (Disebabkan Buah Pinggang)

Hipertensi Sekunder (Disebabkan Buah Pinggang)

Pengenalan

Hipertensi sekunder adalah jenis hipertensi yang disebabkan oleh punca yang boleh dikesan dan berpotensi dirawati. Ia jarang dikesan berbanding dengan hipertensi primer. Hipertensi sekunder hanya terdiri daripada 5% jumlah pesakit hipertensi. Gejala, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal boleh membantu mengenalpasti pesakit hipertensi sekunder. Hipertensi sekunder disyaki khususnya, apabila hipertensi dikesan pada usia yang muda dan apabila hipertensi susah dikawal.

Sebab-sebab hipertensi sekunder:

  • Sleep apnoea
  • Kesan ubat
  • Penyakit buah ginjal kronik
  • Hiperaldosteronisme utama (primary hyperaldosteronism)
  • Penyakit penyempitan saluran darah yang membekal darah ke buah ginjal (Renovascular disease)
  • Penggunaan ubat steroid yang berpanjangan dan penyakit Cushing syndrome
  • Phaeochromocytoma
  • Acromegaly
  • Penyakit tiroid atau paratiroid
  • Coarctation of the aorta
  • Takayasu Arteritis

Hipertensi Sekunder yang Disebabkan Oleh Penyakit Buah Pinggang

Penyakit buah pinggang adalah punca paling utama untuk hipertensi sekunder. Penyakit buah pinggang kronik dan hipertensi sistemik boleh wujud bersama-sama dalam dua cara yang berbeza, di mana kedua-duanya mungkin merupakan punca atau komplikasi penyakit antara satu sama lain.

Hipertensi boleh timbul sama ada daripada parenchyma buah pinggang atau renovascular (saluran darah bekalan darah ke buah pinggang).

Anatomi buah pinggangRajah 1: Anatomi Buah Pinggang

  1. Penyakit parenchyma buah pinggang

Penyakit parenchyma buah pinggang adalah lebih kerap dikesan berbanding dengan penyakit renovascular sebagai punca hipertensi sekunder. Dalam kalangan golongan muda, penyakit parenchyma buah pinggang adalah salah satu punca yang paling biasa untuk hipertensi sekunder.

Penyakit parenchyma buah pinggang menjejaskan fungsi fisiologi buah pinggang. Oleh itu, keadaan imbangan natrium / isipadu dalam badan kita menjadi tidak normal. Ini akan menyebabkan tekanan darah pesakit menjadi tinggi.

Contoh penyakit parenchyma buah pinggang adalah penyakit kencing manis, jangkitan buah pinggang yang berterusan, dan buah pinggang polisistik (polycystic kidneys).

 2. Penyakit renovascular (salur darah bekalan darah ke buah pinggang)

Dalam penyakit renovascular, terdapat penyempitan arteri yang membawa darah ke buah pinggang.

Hipertensi renovascularRajah 2: Hipertensi Renovascular

Punca – Punca Hipertensi Renovascular Adalah Seperti Berikut:

  • Penyakit atherosclerotic renovascular
  • Fibromuscular dysplasia (penebalan otot dinding arteri-arteri yang menuju ke ginjal)
  • Takayasu arteritis
  • Penyempitan arteri buah pinggang yang dipindah (transplant renal artery stenosis)

Penyakit atherosclerotic renovascular adalah lebih biasa dikesan dalam kalangan warga tua. Ia merupakan salah satu punca kegagalan fungsi buah pinggang. Ia juga dikaitkan dengan penyakit jantung koronari, penyakit saluran darah otak (cerebrovascular disease) dan penyakit vaskular periferal (peripheral vascular disease).

Renal angiografi termasuk pengukuran kecerunan tekanan adalah pemeriksaan piawaian dalam diagnosis hipertensi renovascular.

Renal angiografiRajah 3: Renal angiografi – penyempitan teruk (anak panah hitam) dalam arteri kanan buah pinggang dengan kawasan putih berayun (anak panah putih)

Rujukan

  1. Clinical practice guidelines of management of hypertension 3rd edition (2008), Malaysia
  2. Diagnosis of Secondary Hypertension: An Age-Based Approach. Am Fam Physician. 2010 Dec 15;82(12):1471-1478.
  3. Rajah 1: http://www.umm.edu/imagepages/1101.htm
  4. Rajah2:http://www.practicalhospital.com/surgically-correctablehypertension/renovascular-hypertension
  5. Rajah3:http://www.ispub.com/journal/the-internet-journal-of-cardiology/volume-4-number-2/slow-flow-phenomenon-during-renal-angioplasty-does-it-have-the-same-predictors-and-treatment-as-coronary-angioplasty.html

Kuiz

  1. Hipertensi sekunder adalah lebih biasa daripada hipertensi primer.
  • Betul
  • Salah
  1. Penyakit buah ginjal adalah punca paling biasa untuk hipertensi sekunder.
  • Betul
  • Salah
  1. Penyakit atherosclerotic renovascular merupakan salah satu punca kegagalan fungsi buah ginjal.
  • Betul
  • Salah

(Jawapan: Q1-salah; Q2-betul; Q3-betul)

Semakan Akhir : 3 Februari 2016
Penulis : Dr. Yeoh Chin Aun
Akreditor : Dr. Anita Bhajan Manocha

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …