Jumaat , April 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipertensi Dan Hormon Estrogen

Hipertensi Dan Hormon Estrogen

Hormon Estrogen

Tubuh manusia mengandungi banyak jenis hormon yang membantu melaraskan pelbagai fungsi di dalam bandan. Hormon Estrogen adalah sejenis hormon semulajadi yang penting bagi seorang wanita. Estrogen juga dikenali sebagai hormon seks.  Organ utama yang menghasilkan estrogen di tubuh wanita ialah ovari wanita.

Fungsi Hormon Estrogen

Estrogen mengawal pelbagai fungsi dalam badan seorang wanita bermula dari masa baligh hingga ke menopaus. Wanita memerlukan estrogen untuk memastikan fungsi reproduktifnya normal.

Di antara fungsi estrogen adalah:

  • Menggalakkan perkembangan ciri-ciri seksual sekunder seperti pembesaran payudara dan bulu/rambut pubik dan ketiak
  • Memastikan remaja perempuan datang haid
  • Memastikan kitaran haid wanita tetap setiap bulan
  • Mematangkan sistem reproduktif wanita
  • Menguatkan sistem otot, tulang dan kardiovaskular
  • Menjaga kesihatan rambut, kulit, saluran darah, saluran kencing

1

Gambar 1: Pelbagai Fungsi Hormon Estrogen Di Dalam Badan Wanita

Estrogen juga dihasilkan secara sintetik untuk digunakan dalam ubatan. Estrogen sintetik terdapat dalam ubatan kontraseptif dan ubatan Terapi Gantian Hormon Estrogen untuk wanita yang menopaus.

Ubatan Kontraseptif (Ubatan Perancang Keluarga)

Bagi ramai wanita yang berada di dalam lingkungan umur reproduktif, ubatan kontraseptif adalah satu cara yang efektif untuk mengelakkan mengandung tanpa perancangan. Secara keseluruhan, ubatan kontraseptif adalah selamat dan efektif untuk wanita yang sihat.

Walau bagaimanapun, wanita yang menghidapi penyakit hipertensi harus berwaspada dalam memilih ubatan kontraseptif.  Ini adalah kerana ubatan yang mengandungi estrogen boleh menyebabkan kenaikan tekanan darah pengguna. Ubatan kontraseptif boleh menaikkan tekanan darah sistolik sebanyak 8mmHg dan tekanan darah diastolik sebanyak 6 mmHg. Tambahan pula, dos hormon yang lebih tinggi mempunyai risiko yang lebih untuk menaikkan tekanan darah.

Seorang wanita yang menghidap hipertensi akan mengalami kenaikan tekanan darah semasa menggunakan ubatan kontraseptif yang mengandungi estrogen. Jika tekanan darah tidak terkawal untuk jangka masa tertentu, wanita tersebut akan mengalami komplikasi tekanan darah yang tinggi.  Walau bagaimanapun, tekanan darah akan kembali stabil jika ubat perancang keluarga (UPK) dihentikan.

2

 Gambar 2: Ubatan Kontraseptif

Seramai 5% wanita sihat juga akan menghidapi penyakit Hipertensi semasa menggunakan UPK. Wanita yang berisiko adalah wanita yang;

  • Pernah mengalami hipertensi semasa mengandung
  • Mempunyai sejarah hipertensi dalam keluarga kandung
  • Menghidap penyakit buah pinggang
  • Obesiti

Oleh yang demikian, risiko penggunaan ubatan kontraseptif patut ditimbang bersama dengan risiko mengandung tanpa perancangan. Pertimbangan yang penting ini boleh dibincang bersama doktor anda. Terdapat kaedah kontraseptif yang lebih sesuai yang boleh dipilih oleh wanita yang menghidap penyakit hipertensi.

Bagaimana Memilih Ubatan Kontraseptif Yang Sesuai?

Sebaik sahaja keputusan dibuat untuk memulakan perancang;

  • Jumpa doktor anda
  • Doktor akan mengambil dan merekodkan tekanan darah anda
  • Doktor akan berbincang tentang kelebihan dan kelemahan setiap kaedah perancang
  • Pilih kaedah kontraseptif yang sesuai
  • Jika anda memilih ubatan kontraseptif yang mengandungi estrogen, jumpalah doktor anda setiap enam bulan untuk memeriksa tekanan darah
  • Jika tekanan darah anda naik atau bertambah teruk, pilihan doktor anda adalah:

  – Bertukar kepada UPK yang mengandungi kurang estrogen

  – Bertukar kepada kaedah yang lain

  • Teruskan berjumpa doktor anda setiap enam bulan untuk pemantauan.

Terapi Gantian Hormon (HRT) 

Wanita yang menopaus akan mengalami penurunan estrogen yang drastik di dalam tubuhnya. Penurunan tersebut akan menyebabkan wanita mengalami pelbagai gejala dan masalah. Jesteru itu, terapi gantian hormon adalah rawatan yang penting untuk wanita yang menopaus (rujuk kepada fungsi estrogen dalam tubuh).

HRT akan memberikan kualiti hidup yang lebih bagus kepada wanita yang berusia dan mengurangkan kemudaratan kesihatan. Dalam pada itu, doktor anda akan menasihatkan anda untuk memulakan HRT semasa anda menopaus.

Kuantiti hormon yang terkandung dalam HRT adalah amat sedikit jika dibandingkan dengan ubatan kontraseptif. HRT didapati tidak meningkatkan tekanan darah pengguna. Sebenarnya, kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan HRT boleh menurunkan tekanan darah seorang wanita yang menghidap hipertensi. Justeru itu, semua wanita menopaus yang menghidap hipertensi digalakkan untuk memulakan HRT jika tiada halangan kesihatan yang lain.

3

Gambar 3

Bagaimana Memulakan Terapi Gantian Hormon? 

Bagi pesakit hipertensi wanita yang akan atau telah menopaus:

  1. Jumpa doktor anda untuk perbincangan tentang penggunakan HRT
  2. Selepas pemeriksaan, doktor akan menolong anda memilih HRT yang sesuai untuk anda
  3. Doktor akan memantau tekanan darah anda semasa temujanji berkala

4

Gambar 4

Rujukan 

  1. KKM 21-22June 2001 Family Planning program guideline
  2. WHO 1998 Health workers’ manual on FAMILY PLANNING OPTIONS
  3. WHO 2002 Selected practice recommendations for contraceptive use
  4. Yanga Xiao-Ping, Revkelhoffb JF. Estrogen, hormonal replacement therapy and cardiovascular disease. Curr Opin Nephrol Hypertens. Mar 2011; 20(2): 133–138.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Sheela Bai a/p Pannir Selvam
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …