Khamis , April 25 2024
msen
Utama > Diabetes > Tanda & Gejala Diabetes Mellitus

Tanda & Gejala Diabetes Mellitus

Apakah itu penyakit diabetes mellitus?

Diabetes mellitus atau biasa disingkatkan sebagai DM merupakan penyakit yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit kencing manis. Diabetes banyak dihidapi oleh orang tua namun tidak terkecuali orang muda. Penghidap diabetes makin dikenal pasti dalam kalangan dewasa berumur bawah 50 tahun dan selalunya pada tahap teruk.

Penghidap diabetes mempunyai paras gula yang tinggi dalam darah yang disebut sebagai hiperglisemia. Sekitar 20.1% penduduk berumur lebih 30 tahun di Malaysia (Kajian Morbiditi Kesihatan Malaysia 2011) menghidap diabetes.

Sayangnya, ramai yang tidak menyedari mereka adalah penghidap diabetes sehingga ia menjadi kronik dan mempunyai komplikasi jangka panjang.

Mungkin ramai orang yang bertanya, apakah itu penyakit Diabetes mellitus? Apa punca yang menyebabkan diabetes? Mengapa diabetes terjadi?

Pada umumnya penyakit Diabetes mellitus terjadi disebabkan oleh kegagalan organ pankreas berfungsi secara normal. Pankreas berfungsi merembeskan horman insulin. Hormon insulin bertanggungjawab memudahkan kemasukan gula ke dalam sel untuk sumber tenaga. Jika pankreas gagal berfungsi dengan baik, hormon insulin tidak dihasilkan dengan cukup. Ini menyebabkan terdapat lambakan gula di dalam saluran darah. Gula tidak akan dibekalkan ke dalam sel dengan mencukupi menyebabkan individu berasa kurang tenaga. Maka penghidap diabetes akan berasa keletihan dan kekurangan tenaga.

Rajah 1 : Pankreas normal and pankreas pesakit diabetes ( sumber : http://abcblogs.abc.es/eat-fit )

Selain daripada itu, diabetes juga boleh berlaku apabila sel menjadi kurang sensitif dengan insulin walaupun pankreas menghasilkan jumlah insulin yang mencukupi. Ini terjadi apabila terdapat jumlah lemak yang tinggi di dalam badan sehingga mengganggu sensitiviti dan metabolisma sel terhadap insulin. Masalah ini menyebabkan kurang kemasukan gula ke dalam sel untuk tenaga. Situasi ini berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Terdapat 2 jenis penyakit diabetes yang utama :

  1. Diabetes jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus) : Penyakit DM yang memerlukan insulin sejurus selepas diabetes dikesan dan individu ini bergantung dengan insulin sepenuhnya.
  2. Diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus) : Memerlukan rawatan ubat-ubatan oral pada peringkat awal untuk mengawal paras gula dan hanya memerlukan insulin apabila gula sukar dikawal oleh rawatan oral.

lihat : Diabetes mellitus

Di samping itu, ada juga penyakit diabetes yang disebabkan oleh kehamilan, pengambilan ubat steroid tanpa kawalan, masalah penyakit genetik dan lain-lain.

Bagi diabetes jenis 2, kawalan paras gula darah boleh dilakukan melalui perubahan gaya hidup dan tabiat pemakanan.

Berdasarkan pelbagai kajian, perubahan tersebut terbukti berkesan mengurangkan risiko diabetes dan membantu mengawal paras gula di kalangan penghidap diabetes. Oleh itu, sangat penting bagi anda untuk mengetahui jika anda menghidap diabetes atau tidak.

Apakah gejala diabetes?

Ada beberapa tanda dan gejala diabetes yang dapat anda kenali sebagai gejala umum yang terjadi pada penghidap diabetes. Walau bagaimanapun, tidak semua tanda dan gejala akan dialami oleh pesakit diabetes.

Tanda dan gejala diabetes adalah :

  1. Jumlah air kencing yang dikeluarkan lebih banyak dan kerap kencing (Polyuria)
  2. Sering atau cepat rasa haus/dahaga (Polydipsia)
  3. Lapar yang berlebihan atau makan banyak (Polyphagia)
  4. Urin mengandungi paras gula yang tinggi (Glycosuria)
  5. Berat badan turun mendadak
  6. Rasa kebas pada hujung saraf di telapak tangan & kaki
  7. Cepat penat dan lemah sepanjang masa
  8. Mengalami rabun penglihatan
  9. Luka lambat sembuh
  10. Mudah terkena jangkitan kuman terutama pada kulit.

Bagi diabetes Jenis 1, gejala utama penyakit ini adalah sakit perut, kehilangan berat badan yang mendadak dan dahaga yang berterusan.

Rajah 2 : Tanda dan gejala diabetes mellitus (sumber : www.fullissue.com)

Apakah yang patut dilakukan?

Seseorang dikatakan menghidap diabetes apabila paras gula dalam darahnya melebihi 7.0 mmol/L (berpuasa) atau 11.1 mmol/L (tidak berpuasa). Namun, kebanyakan gejala diabetes hanya berlaku apabila gula darah melebihi 15 mmol/L.

Jangan tunggu sehingga anda mendapat gejala diabetes untuk mengetahui kehadiran diabetes. Satu-satunya cara yang tepat untuk mengetahuinya adalah dengan menjalani ujian darah.

Pemeriksaan ujian saringan ini boleh dibuat di mana-mana klinik kesihatan di Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun.

Kesimpulan

Pencegahan amat penting dan anda disarankan untuk mendapatkan rawatan intensif jika ingin mengelakkan berlakunya komplikasi dalam badan anda.

Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko diabetes, anda digalakkan agar menjalani pemeriksaan saringan bagi paras gula dalam darah sekurang-kurangnya sekali setahun.

Jika perkara ini tidak diberi perhatian dari awal, gangguan pada saluran darah boleh terjadi seperti gangguan pada saluran darah di otak, mata, jantung, ginjal, serta bahagian kaki. Selain itu penghidap diabetes juga sangat mudah mendapat jangkitan kuman pada paru-paru, gigi, serta gusi dan pada saluran kencing.

Rajah 3 : Komplikasi diabetes (sumber : static.wixstatic.com)

Mencegah lebih baik daripada mengubati, dengan mengenali tanda-tanda dan gejala diabetes melitus atau kencing manis individu akan lebih berwaspada dan mengambil tindakan dengan menjalani cara hidup sihat. Langkah ini boleh menghindarkan individu daripada mendapat diabetes dan komplikasi yang boleh membawa maut.

Berikut ini adalah beberapa pilihan sumber maklumat dan sokongan yang tersedia :

Bil. Nama organisasi
1 National Diabetes Institute (NADI)
No. 1, Jalan SS 3/50,
University Garden,
47300 Petaling Jaya,
Selangor, Malaysia.
Telephone : 03-78761676 / 78761677
Fax : 03-78761679
E-mailenquiry@nadidiabetes.com.my
Websitewww.nadidiabetes.com.my
National Diabetes Institute (NADI)
2 Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) Secretariat
No. 2, Lorong 11/4E,
46200 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 03-79574062/ Fax: 03-79604514
Website: http://www.diabetes.org.my
Email: info@diabetes.org.my
Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) Secretariat
3 Nutrition Society of Malaysia (NSM). http://www.nutriweb.org.my  Nutrition Society of Malaysia (NSM)
4 Malaysian Endocrine & Metabolic Society (MEMS)

Department of Medicine, 8th Floor, Clinical Block, UKM Medical Centre (PPUKM),
Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 603-9145 6928, 6958, Fax: 603-9173 7829.
Email: info@endocrine.my

Office:
B-26-07, Suasana Sentral Condominium 2 (Tower B),
Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral,
50470 Kuala Lumpur, Malaysia.

Malaysian Endocrine & Metabolic Society (MEMS)
5 Klinik kesihatan dengan Program Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit yang mempunyai kumpulan kumpulan sokongan bagi pelanggan mereka – sila semak dengan klinik kesihatan terdekat anda atau pejabat kesihatan daerah untuk mengetahui tentang perkhidmatan ini.

 

Rujukan :

  1. Clinical Practice Guidelines Management of Type 2 Diabetes mellitus (4th Edition) 2009. Ministry of Health Malaysia. MOH/P/PAK/184.09 (GU).
  2. Davidson’s Principle and Practice of Medicine (21st Edition) 2010. Nicki R, Brian R and Stuart H. Churchill Livingstone.

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …