Jumaat , Mac 29 2024
msen
Utama > Diabetes > Diabetes Mellitus dan Warga Emas – Tanda & Gejala

Diabetes Mellitus dan Warga Emas – Tanda & Gejala

Rajah 1 : Warga emas. (https://image.freepik.com)

Pengenalan

Diabetes Mellitus adalah sejenis penyakit kronik. Ia berlaku apabila paras glukosa darah sentiasa melebihi paras normal (hiperglisemia) dalam jangka masa yang panjang. Ia didiagnos apabila paras glukosa darah selepas berpuasa sentiasa melebihi 7.0 mmol/l atau selepas makan melebihi 11.1 mmol/l.

Warga emas amat terdedah kepada fenomena yang menyebabkan diabetes mellitus. Penuaan menyebabkan sel beta di pankreas kurang berfungsi untuk mengeluarkan insulin dan insulin menjadi kurang peka kepada paras glukosa darah yang tinggi menyebabkan hiperglisemia.

Insulin adalah sejenis hormon yang bertindak balas untuk mengembalikan paras glukosa yang tinggi dalam darah kepada paras normal.

Ramai warga emas tidak menyedari bahawa mereka menghidapi diabetes mellitus sehinggalah bertahun-tahun lamanya. Ini adalah kerana tanda dan gejala Diabetes Mellitus dalam kalangan mereka tidak menyerupai tanda dan gejala biasa yang ditunjukkan oleh golongan lebih muda. Di samping itu, ia mudah disalah tafsir sebagai sebahagian daripada proses penuaan. Oleh itu, ia lambat dikesan dan disahkan.

Selain itu, warga emas juga mudah terdedah kepada komplikasi diabetes sama ada komplikasi akut atau kronik. Ini kerana komplikasinya boleh berlaku dalam masa yang singkat dan cepat. Komplikasi diabetes yang kronik seperti penyakit angin ahmar, penyakit jantung, darah tinggi, kegagalan buah pinggang, katarak, kebutaan, amputasi kaki dan lain-lain boleh menyebabkan pengurangan fungsi dan kebolehan berdikari.

Rajah 2 : Komplikasi diabetes (sumber : static.wixstatic.com)

Oleh itu, adalah mustahak mengenal pasti tanda dan gejala diabetes mellitus dalam kalangan warga emas agar ia dapat disahkan dan rawatan dapat dimulakan. Pengesanan awal dapat mengelakkan atau melambatkan komplikasi diabetes di samping mengekalkan kebolehan berdikari mereka dalam jangka masa yang panjang.

Apakah gejala dan tanda Diabetes Mellitus dalam kalangan warga emas?

Terdapat beberapa perbezaan antara gejala dan tanda diabetes mellitus dalam kalangan warga emas berbanding dengan tanda dan gejala lazim Diabetes Mellitus. (lihat: tanda dan gejala diabetes mellitus).

Warga emas mungkin tiada sebarang tanda dan gejala langsung atau tanda dan gejala yang tidak begitu ketara.

Apabila usia seseorang itu meningkat, tahap pengeluaran glukosa buah pinggang (renal glucose threshold) akan meningkat juga. Oleh itu, paras gula dalam air kencing tidak akan selaras dengan tahap gula dalam darah dan pemeriksaan gula dalam air kencing adalah tidak tepat.

Juga, kencing berlebihan (poliuria), minum berlebihan (polidipsia) dan penurunan berat badan yang biasanya merupakan tanda-tanda kebiasaan/tipikal bagi diabetes mellitus mungkin tidak ketara dalam kalangan warga emas walaupun tahap glukosa dalam darah adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, ada beberapa tanda dan gejala diabetes mellitus dalam kalangan warga emas yang boleh dikenal pasti sebagaimana berikut :

  • kabur penglihatan
  • kerap mendapat jangkitan bahagian kulit, alat kelamin dan pundi kencing
  • kerap kencing
  • selalu lapar dan dahaga
  • lambat pergerakan
  • hilang daya ingatan/tumpuan
  • kemurungan yang bertambah
  • keletihan yang berlebihan
  • loya dan muntah
  • kurang atau bertambah berat badan
  • selalu jatuh dan tercedera
  • luka lambat sembuh
  • kebas di tangan dan kaki
  • ulser di bahagian tekanan seperti di hujung tapak kaki
  • koma jika glukosa dalam darah sangat tinggi
  • bagi lelaki mungkin hilang upaya untuk memulakan ereksi dan ejakulasi (lemah tenaga batin atau mati pucuk).

Rajah 3 : Tanda dan gejala diabetes mellitus (sumber : www.fullissue.com)

Kebanyakan daripada tanda-tanda ini adalah tidak spesifik dan boleh disebabkan oleh penyakit lain. Pemeriksaan darah perlu dijalankan untuk mengesahkan penyakit diabetes.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat Diabetes Mellitus dalam kalangan warga emas?

Faktor risiko diabetes mellitus dalam kalangan warga emas adalah sama dengan kumpulan umur yang lain, iaitu :

  1. Berat badan berlebihan. (BMI >23 kg/m2 atau ukur lilit pinggang wanita ?80 cm, lelaki ?90 cm)
  2. Dyslipidaemia, (HDL) kolesterol <0.9 mmol/L atau triglycerides (TG) >1.7 mmol/L
  3. Sejarah penyakit kardiovaskular (jantung)
  4. Darah tinggi (BP?140/90 mmHg atau dalam rawatan darah tingi)
  5. Impaired Glucose Tolerance (IGT) atau Impaired Fasting Glucose (IFG) pada ujian sebelumnya
  6. Sejarah keluarga terutama darjah pertama (iaitu ibu bapa atau adik-beradik) dengan Diabetes Mellitus
  7. Bagi wanita pernah mendapat Gestational Diabetes (diabetes semasa mengandung) dan melahirkan anak dengan berat badan melebihi 4kg.
  8. Umur melebihi 30 tahun.

Rajah 4 : Faktor risiko diabetes dan pencegahan (sumber : istockphoto.com)

Apa yang patut dilakukan?

Jika seseorang warga emas mempunyai tanda dan gejala atau faktor risiko Diabetes Mellitus seperti yang disenaraikan, segeralah ke pusat kesihatan terdekat untuk melakukan ujian saringan dan pengesahan Diabetes Mellitus.

(sumber : http://www.northchannelarea.com)

Kesimpulan

Tanda dan gejala Diabetes Mellitus yang dialami oleh warga emas mungkin berlainan daripada yang lazim. Malah ramai daripada mereka tiada sebarang tanda dan gejala langsung. Ini menyebabkan penyakit ini lambat dikesan dan dirawat.

Oleh itu, adalah mustahak mempunyai syak yang tinggi terhadap Diabetes Mellitus dalam kalangan warga emas agar pengesahan dan pengendalian sewajarnya dapat dilaksanakan.

Rujukan

  1. Clinical Practice Guideline on Management Of Type 2 Diabetes Mellitus. Ministry Of Health Malaysia, 4th Edition 2009.
  2. Diabetes In the Elderly, Danee RD, Aron DC;Current Geriatric Diagnosis And Treatment, Mc Graw Hill, International Edition 2004.
  3. http://www.diabetes.org.my/article.php?aid=5
  4. http://www.sugarnancy.com/articles/art0004.pdf. Nancy J.V. Bohannon. Diabetes in The Elderly, A unique set of management challenges.
  5. http://www.bcendocrineresearch.com/. Gradon Meneilly. Diabetes in the Elderly.

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …