Khamis , April 25 2024
msen
Utama > Asma > Etiologi > Isu-isu Khas (+2) > Asma Dan Mengandung

Asma Dan Mengandung

Pengenalan

Statistik menunjukkan penyakit asma di kalangan wanita-wanita reproduktif adalah lapan peratus. Asma yang dikawal dengan baik tidak mendatangkan mudharat kepada ibu atau anak yang dikandung, berbanding dengan asma yang tidak terkawal. Dengan rawatan yang betul, kebanyakan pesakit asma semasa mengandung boleh menjalani proses mengandung dan melahirkan bayi yang sihat. Pengubatan untuk asma tidak mendatangkan risikio berbanding asma yang tidak dikawal dengan baik.

Apakah asma?

Asma adalah keadaan di mana salur pernafasan menyempit disebabkan :

  • Kekejangan otot di sekeliling saluran pernafasan
  • Pengumpulan kahak di dalam saluran pernafasan
  • Kebengkakkan saluran pernafasan akibat radang

Keadaan di atas boleh dirawat.

Simptom-simptom asma adalah dada berasa ketat, nafas berbunyi, sesak nafas dan batuk. Ini boleh di cetuskan oleh benda asing seperti “debunga, habuk, bulu haiwan, hama, lipas dan/atau jangkitan kuman. Ada pesakit mendapat serangan asma apabila ketawa dengan kuat atau mendapat tekanan perasaan.

Apakah kesan mengandung kepada asma?

Semasa mengandung satu pertiga wanita menghidap asma bertambah teruk, satu pertiga bertambah baik dan satu pertiga lagi tidak berubah. Sama ada asma bertambah teruk atau tidak semasa mengandung berbeza dari seseorang wanita dengan wanita yang lain. Walaupun kajian-kajian yang dijalankan keatas kesan mengandung terhadap asma mempunyai banyak perbezaan, dapat dirumuskan keputusannya seperti berikut :

  • Pesakit asma yang teruk biasanya bertambah teruk, sementara pesakit yang kurang teruk biasanya bertambah baik atau tidak berubah keadaannya.
  • Perubahan semasa mengandung mengikut trend yang sama seperti kandungan yang sebelumnya.

Perubahan yang terjadi semasa mengandung akan kembali kepada keadaan sebelumnya dalam masa tiga bulan.

Kesan asma semasa mengandung kepada ibu dan kepada bayi

Asma yang tidak terkawal boleh mengakibatkan oksigen kepada ibu dan bayi terjejas seterusnya komplikasi semasa mengandung dan kelahiran yang tidak memuaskan.

Untuk ibu, kesan asma tidak terkawal termasuk :

  • Tekanan darah tinggi
  • Kelahiran pramatang
  • Kematian ibu

Untuk bayi, komplikasi asma tidak terkawal adalah :

  • Lahir mati (stillbirth)
  • “Foetal growth retardation”
  • Kelahiran pramatang
  • Rendah berat badan

Ini berbeza dengan asma yang telah dikawal sewaktu mengandung di mana sangat sedikit atau tiada langsung risiko kepada ibu atau bayi.

Rawatan

Rawatan asma semasa mengandung tiada beza dengan pesakit asma yang lain, objektif rawatan adalah untuk menghilangkan simptom dan mengekalkan fungsi paru-paru. Kerjasama antara pakar perubatan dan pakar perbidanan adalah sangat penting semasa keseluruhan waktu mengandung.

Sebelum mangandung, pesakit asma perlulah berbincang dengan doktor untuk memastikan asma terkawal. Seseorang wanita yang didapati mengandung boleh meneruskan kandungannnya dan perawatan asma diteruskan. Memberhentikan pengubatan asma secara tiba-tiba boleh memudaratkan ibu dan juga bayi.

Selain daripada rawatan dengan ubat-ubatan, pastikan pesakit-pesakit menghindarkan allergen-alergen yang boleh mencetuskan serangan asma. Pada amnya, pengubatan asma akan dipilih berdasarkan kepada kriteria-kriteria berikut :

  • Ubat-ubat sedutan diberi kerana kesan terus kepada paru-paru dan hanya sedikit sahaja yang meresap melalui pengaliran darah.
  • Secara keseluruhan, ubat-ubatan yang sama digunakan semasa mengandung, melahirkan dan semasa penyusuan bayi.

Ubat-ubatan untuk mengembangkan saluran pernafasan

Ubat diambil secara sedutan bila perlu dipanggil “short acting beta2-agonists” untuk mengawal serangan asma.

Ubat Pencegahan Serangan Asma

Iaitu jenis steroid juga diambil dengan cara sedutan untuk mengawal asma dan selamat diambil semasa mengandung.

Kombinasi sedutan steroid dan “long acting beta2-agonists”

Kombinasi dua ubat dalam satu alat sedut ini akan diberi kepada pesakit yang asmanya tidak terkawal dengan ubat-ubatan di atas.

Steroid secara oral

Ini diberikan semasa serangan asma yang teruk dan simptom tidak dapat dikawal dengan pengubatan di atas. Ia tidak diberi secara terus-menerus, tetapi untuk sepuluh hingga 14 hari sahaja. Kesan sampingan ubat oral ini adalah mungkin terjadinya sumbing kepada bayi. Walau bagaimanapun, nyawa ibu adalah penting dan ubat ini akan diberi untuk menyelamatkan ibu.

Steroid secara sedutan melalui hidung

Ini disyorkan untuk pesakit yang ada simptom sinusitis.

Vaksin Influenza

Disyorkan untuk pesakit asma teruk dan sangat teruk. Tiada bukti menunjukkan kesan sampingan kepada ibu atau bayi.

Pendidikan Asma

Pendidikan asma diberikan kepada pesakit untuk mengenal pasti simptom, menghindarkan pencetus serangan asma dan menggunakan ubat-ubatan pencegahan secara betul. Kawalan asma yang baik semasa mengandung akan mengurangkan risiko komplikasi kepada ibu dan bayi.

Menghindarkan Pencetus Asma

Beberapa langkah di persekitaran yang boleh menerukkan asma dan mencetus seragan perlu ditangani. Ini termasuklah :

  • Hindari diri daripada alergen yang diketahui mencetus serangan
  • Membasuh dan menukar cadar dan sarung bantal secara berkala kerana ini akan mengurangkan pembiakan hama.
  • Tidak merokok sama ada secara aktif atau pasif.

Kesimpulan

Asma yang tidak terkawal boleh memudaratkan ibu dan bayi. Harus diingat bahawa risiko asma yang tidak terkawal adalah lebih berbahaya jika dibandingkan dengan kesan sampingan pengubatan asma. Pesakit perlu berbincang dengan doktor mengenai perkara ini waktu belum mengandung lagi. Doktor harus diberitahu jika pesakit mengandung. Rawatan susulan secara berkala untuk menilai simptom dan rawatan asma adalah perlu sepanjang waktu mengandung untuk memaksimumkan kawalan asma supaya tidak berlaku komplikasi.

Semakan Akhir : 24 May 2016
Penterjemah : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali
Akreditor : Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahaman